Sirajuddin Salleh
Sirajuddin Salleh

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menuntut penjelasan Timbalan Menteri Pendidikan, Yeo Nie Ching bilakah tambahan pembinaan 10 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dimohon, dibincang dan diluluskan kerajaan.

Pemangku Presidennya, Datuk Sirajuddin Salleh berkata, adakah permohonan, perbincangan dan kelulusan itu dibuat ketika zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini atau era kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) yang memerintah sekarang.

“Atau adakah Timbalan Menteri Pendidikan ini sengaja mengeluarkan kenyataan provokasi dengan meminta tambahan 10 lagi SJKC menjadikan formula 10 + 6 + 10,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Semalam, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan Kementerian Pendidikan merancang untuk membina SJKC menggunakan formula 10 + 6 + 10 dengan jumlah keseluruhan sekolah untuk masyarakat Cina ialah 26 buah, bukan 16 seperti sebelum ini.

Menurut Sirajuddin, formula 10 + 6 + 10 yang dimaksudkan oleh kementerian itu ialah 10 SJKC yang diluluskan pembinaan oleh kerajaan BN, enam sekolah yang akan dibina di tapak baharu menggantikan tapak lama dan 10 lagi sebagai tambahan, akan diteruskan oleh Kementerian Pendidikan.

Katanya, Perkasa sangat memandang berat kenyataan Timbalan Menteri itu kerana ia menggambarkan beliau hanya memperjuangkan pendidikan Cina di negara ini.

“Tidakkah beliau sedar ada perkara lebih besar yang perlu ditangani oleh kementerian itu daripada sibuk dengan penambahan bilangan SJKC.

“Ini memperlihatkan timbalan menteri itu tidak tahu mengenai Perlembagaan Persekutuan yang dengan jelas tidak memperuntukan pendidikan Cina dilaksanakan di tanah air ini.

“Begitu juga tidak pekanya beliau mengenai Akta 555 yang jelas memperuntukan penggunaan Bahasa Melayu, kurikulum serta sistem peperiksaan kebangsaan,” ujarnya.

Beliau berkata, Nie Ching sepatutnya menumpukan perhatian lebih serius kepada kelemahan dan kekurangan yang ditanggung sekolah kebangsaan di seluruh negara yang mana kemudahan infrastruktur, aksesibiliti sekolah, sumber manusia dan peruntukan kewangan yang sangat perlu diberi perhatian segera.

“Semasa kita sibuk merayakan ulangtahun kemerdekaan Malaysia ke-61 yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan bahasa ilmu, sepatutnya Timbalan Menteri itu lebih sensitif dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang mengutamakan pendidikan arus perdana,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan tidak lagi menambah SJKC dan SJKT kerana penambahan sekolah jenis itu hanya akan menaikkan sentimen perkauman dalam kalangan rakyat.

“Ini akan menggagalkan usaha membentuk perpaduan nasional yang juga mengancam ketenteraman negara.

“Kita membantah sekeras-kerasnya sebarang tuntutan untuk menambah bilangan SJKC dan SJKT. Perkara ini jelas bertentangan dengan Dasar Pendidikan Nasional,” katanya.

Beliau turut menyarankan kerajaan agar serius merancang dan melaksanakan sekolah satu aliran bagi semua rakyat Malaysia sesuai dengan hasrat kerajaan berfokus kepada keharmonian dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, jawatan yang disandang timbalan menteri itu adalah satu amanah yang wajib dipikul bukan untuk kaum Cina sahaja, tetapi untuk rakyat Malaysia dan jangan mengkhianati amanah yang telah dipertanggungjawabkan demi masa depan negara. – MalaysiaGazette