KUALA LUMPUR – Pelantikan Tan Sri Abdul Rahim Noor sebagai fasilitator baharu untuk proses damai di wilayah selatan Thailand adalah kerana beliau mempunyai pengalaman dan pengetahuan mengenai kawasan itu, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Beliau menarik perhatian bahawa bekas Ketua Polis Negara itu sebelum ini pernah ditugaskan untuk berunding dengan pihak komunis pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi perdana menteri ketika itu.

Ini, katanya, menjurus kepada majlis menandatangani perjanjian damai di Hatyai pada 1989.

“Saya yakin perdana menteri (sekarang Dr Mahathir) melihat di sudut keupayaan dan kebolehan itu, maka diberikan tugas itu kepada beliau (Abdul Rahim),” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan bulanan di kementerianya di sini hari ini.

Abdul Rahim, 75, yang menjadi Ketua Polis Negara dari 1994 hingga 1999, pada Jumaat lepas mengesahkan pelantikan itu.- BERNAMA