Suspek, Datuk Hasanah Abdul Hamid diiringi pegawai SPRM hadir ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman kes salah guna dana PRU14 di Mahkamah Majistret Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 29 OGOS 2018.
Suspek, Datuk Hasanah Abdul Hamid diiringi pegawai SPRM hadir ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman kes salah guna dana PRU14 di Mahkamah Majistret Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 29 OGOS 2018.

PUTRAJAYA – Bekas Ketua Pengarah Agensi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid yang telah berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri(JPM) direman lima hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret hari ini.

Wanita berusia 61 tahun itu merupakan suspek kelapan yang direman hari ini untuk disiasat dalam penyelewengan dana disyaki milik kerajaan Malaysia yang diperuntukkan untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 9 Mei lalu.

Suspek direman sehingga 2 September ini untuk disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Perintah tahanan reman lima hari itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim selepas permohonan reman tujuh hari dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akril Gharib.

Hasanah diwakil peguamnya Datuk Shaharudin B. Ali.

Terdahulu suspek wanita itu dibawa oleh pegawai SPRM sekitar pukul 9.08pagi sebelum memasuki mahkamah untuk proses permohonan reman sekitar 8.45 pagi.

Beliau dikenakan pakaian lokap berwarna oren dengan tangannya digari di hadapan menutup muka ditutup dengan kain ungu sebagai tindakan mengelak wajahnya dirakam media.

Terdahulu suspek ditahan oleh SPRM ketika hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada pukul 4.15 petang semalam untuk memberi keterangan dalam siasatan kes itu.

Beliau disyaki turut terlibat dengan tujuh lagi pegawai kanan yang direman semalam kerana dikatakan menyalahgunakan wang peruntukan tersebut bagi tujuan peribadi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Mohd. Azam Baki ketika dihubungi semalam mengesahkan tangkapan suspek wanita tersebut.

Semalam tujuh Pegawai Tadbir dan Diplomatik dari JPM termasuk seorang Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan di JPM berpangkat Datuk turut dibenarkan ditahan reman sehingga 1 September ini untuk disiasat dalam isu salah guna dana yang sama.

Manakala pada 13 dan 14 Ogos lalu SPRM secara berperingkat telah membebaskan 17 pengawal keselamatan dan seorang pegawai keselamatan gred 52 berusia antara 31 hingga 51 tahun yang direman lima hari sejak 8 Ogos lalu untuk menyiasat atas dakwaan salah guna dana PRU14 itu.

Hasanah terdahulu terlibat dengan satu lagi kes siasatan polis dan diambil keterangan dalam isu berkaitan kebocoran surat rahsia Agensi Risikan Pusat (CIA) di Amerika Syarikat.

Antara kandungan surat itu didakwa sebagai meraih sokongan Amerika Syarikat untuk kemenangan Barisan Nasional dalam PRU14 lalu dibawah Kepimpinan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast