KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak berniat untuk memburukkan mana-mana pihak termasuk kerajaan terdahulu apabila mendedahkan hutang negara yang mencecah RM1.0873 trilion.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, ia sekadar satu peringatan kepada pentadbiran baharu Kerajaan Persekutuan agar dapat menguruskan kewangan negara dengan lebih baik.
“Tidak ada niat dan hasrat untuk memburukkan mana-mana pihak, kerajaan terdahulu dan sebagainya, sekadar untuk mengingatkan kerajaan bahawa inilah dia kedudukan hutang langsung dan liabiliti yang kita ada.
“Ini supaya kita dapat menguruskan kewangan negara dengan lebih bijak, berhemah dan bernilai untuk wang bagi setiap projek yang kita laksanakan untuk kebaikan rakyat,” katanya pada sidang Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negara Senator Datuk Yahaya Bin Mat Ghani @Abbas minta Menteri Kewangan menyatakan jumlah sebenar angka hutang negara supaya tiada unsur eksploitasi angka bagi mewujudkan persepsi negatif terhadap kerajaan terdahulu dan juga niat untuk mengelirukan rakyat Malaysia.
Amiruddin juga berkata, ia merupakan obligasi tunai kerajaan hingga 2045 yang perlu ditanggung dengan peruntukan tahunan bagi membiaya khidmat hutang dan bayaran pokok hutang serta bayaran pajakan kewangan.
“Jumlah komitmen hutang dan liabiliti kerajaan adalah berjumlah RM1.0873 trilion atau 80.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Langkah kerajaan dalam mengambil kira semua hutang dan obligasi kerajaan adalah lebih berhemah dan realistik khususnya dari aspek pengurusan kewangan negara.
“Ini bagi memastikan sebarang keputusan diambil oleh kerajaan lebih menyeluruh dan tidak membebankan kedudukan kewangan kerajaan berdasarkan maklumat yang lebih tepat dan komprehensif,” katanya.
Katanya lagi, langkah kerajaan PH mengumumkan kedudukan hutang negara yang sebenar itu untuk mengukuhkan keyakinan pelabur untuk jangka masa panjang.
“Kementerian juga yakin dengan langkah ini keyakinan pelabur dalam jangka panjang akan lebih kukuh berikutan langkah kerajaan yang lebih kompeten, akauntabiliti dan telus,” katanya lagi – MalaysiaGazette