Mahathir
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. foto MIRZA HASIM, 30 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan dirinya didatangi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang melahirkan rasa gusar kerajaan kini tidak banyak memberi perhatian kepada kebajikan masyarakat Melayu di negara ini.

Dedah Tun Mahathir, beliau ada melontarkan kebimbangan kebajikan dan hak kaum terbesar di negara ini sebenarnya tidak diberi kepentingan ketika ini.

Bagaimanapun, Mahathir berkata, Anwar tidak mengkritik polisi yang diamalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), sebalikya hanya memberikan beberapa komen tentang kepentingan serta kebajikan masyarakat Melayu Islam di negara ini.

“Anwar tidak jumpa saya bagi membincangkan apa-apa tentang Pilihan Raya Kecil (PRK) seperti yang anda semua dakwa. Benar, beliau ada datang jumpa saya baru-baru ini tetapi hanya melahirkan kerisauan tentang kebajikan masyarakat Melayu yang padanya tidak begitu diberi perhatian.

“Itu sahaja, katanya kita tidak beri perhatian kepada kepentingan dan hak kaum Melayu di negara ini. Bagaimanapun, beliau tidak mengkritik sebaliknya sekadar memberi pandangan dan buah fikiran,” katanya kepada pemberita.

Bagaimanapun, Mahathir tidak mengulas lanjut berhubung pertemuan tersebut.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga menafikan tahu tentang dakwaan aktivis politik, Hishamuddin Rais yang menyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mahu bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menjadi Menteri Kewangan.

“Hishamuddin Rais akan mengadakan pertemuan dengan saya dalam masa terdekat. Saya tidak tahu tentang dakwaan ini. Saya hanya tahu melalui anda semua,” katanya.

Terdahulu, Hishamuddin yang juga merupakan penulis dan pengarah filem mendakwa kepimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak bersetuju Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan, sebaliknya mencadangkan nama Rafizi Ramli dalam tulisan terbarunya.

Hishamuddin turut mendakwa Wan Azizah memberi cadangan agar Anwar dan Rafizi diberi pengampunan selain daripada menangguhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama dua minggu selepas menang pada PRU-14 lepas.

Mahathir bagaimanapun menafikan beliau tahu tentang perkara itu dan akan mengadakan pertemuan dengan Hishamuddin terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan. – MalaysiaGazette