Ahli Dewan Negara, Datuk T. Mohan pelik dengan sikap segelintir pemimpin PH yang masih lagi berada dalam alam mimpi kononnya mereka masih pembangkang sehingga agenda untuk membawa perubahan seolah-olah sudah di lupakan.
Ahli Dewan Negara, Datuk T. Mohan pelik dengan sikap segelintir pemimpin PH yang masih lagi berada dalam alam mimpi kononnya mereka masih pembangkang sehingga agenda untuk membawa perubahan seolah-olah sudah di lupakan.

KUALA LUMPUR – Pemimpin kerajaan Pakatan Harapan (PH) ditegur agar mengubah cara mereka berpolitik dan berhenti menjadi ‘pembangkang’ memandangkan kini mereka sedang menerajui kerajaan baharu.

Ahli Dewan Negara, Datuk T. Mohan berkata, beliau cukup pelik dengan sikap segelintir pemimpin PH yang masih lagi berada dalam alam mimpi kononnya mereka masih pembangkang sehingga agenda untuk membawa perubahan seolah-olah sudah dilupakan.

Jelas Mohan yang merupakan Naib Presiden MIC, tindakan pemimpin PH yang berterusan cuba menuding jari kepada kerajaan terdahulu selain daripada cepat melatah apabila kerajaan kini berhadapan dengan kritikan adalah sesuatu yang keanak-anakan.

“Adakah PH lupa anda kini adalah kerajaan dan mampu melakukan sesuatu yang kononnya tidak boleh atau sengaja tidak dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini? Anda kini ada kuasa, bertindaklah.

“Saya beri contoh, baru-baru ini isu hampir 300,000 kaum India tidak memiliki dokumen kerakyatan. Walaupun sejak dulu lagi kami telah memberi penerangan dan pendedahan tidak wujud angka seumpama itu, anda yang ketika itu pembangkang tetap mempertahankan anggaran tersebut.

“Kini apabila kuasa ada dalam tangan anda, hanya lebih 3000 telah diberikan dokumen pengenalan. Kita dulu pun pernah beri anggaran hanya 3,853 orang India tidak memiliki kewarganegaraan di Malaysia tetapi anda kata kami menipu.

“Kini apabila kami tanya apa yang terjadi kepada baki yang lain, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman mengesahkan menerima 3,853 permohonan kerakyatan daripada orang India di negara ini sehingga 30 Mei lalu.

“Kami berhak untuk tahu kerana ini bukan isu main-main, mengapa pula Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago melatah mengatakan kami cuba mainkan isu ini demi kepentingan kami. Anda kini adalah kerajaan, daripada sibuk mengkritik bukan lebih baik selesaikan isu ini?

“Jika benar angka 300,000 itu masih kekal dan kerajaan terdahulu ‘temberang’, saya cabar anda-anda sekelian untuk sekurang-kurangnya bantu 10 peratus daripada anggaran itu mendapatkan pengenalan mereka. Cukup daripada tuding jari berpolitik, lebih baik buat sesuatu yang berfaedah,” katanya kepada Malaysia Gazette.

Mohan mengulas kenyataan Charles yang berterusan menuding jari kepada BN khasnya MIC dan memberi gambaran kelantangan oleh pembangkang menyoal isu tersebut adalah sesuatu yang tidak masuk akal.

Tambah Mohan, apa yang penting ketika ini adalah kesanggupan parti seperti MIC yang mahu tampil bersama-sama membantu seandainya wujud angka seperti yang didakwa oleh PH selama ini.

“Itu yang lebih penting, kami juga ingin bekerjasama dan membantu kerana ini bukan isu untuk terus dipolemikkan sebaliknya kita harus berganding bahu selesaikan perkara yang telah lama menjadi igauan masyarakat India. Kita selesaikan isu ini.

“Kuasa kini dalam tangan anda, cukuplah berpolitik. Mari kita berfikir cara terbaik untuk membawa kebaikan kepada rakyat, tunjuk kepada mereka undid an harapan mereka itu sebenarnya tidak sia-sia. Jangan asyik-asyik tuduh kerajaan lama tidak betul.

“Anda pula yang kini sepatutnya bekerja dan buktikan kesungguhan, keikhlasan serta integriti anda yang selama ini menjadi laungan anda,” tegasnya. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast