ALOR SETAR – Polis menembak mati empat penjenayah warga Vietnam dipercayai anggota Geng Tebuk yang menjadi buruan kerana terlibat dengan kegiatan pecah masuk gudang dan pasar raya. untuk menebuk peti simpanan wang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, SAC Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, kesemua penjenayah lelaki berumur 20 hingga 30 tahun itu maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Kilometer 19.2, Lebuh Raya Butterworth – Kulim (BKE) berhampiran Plaza Tol Lunas kira-kira 4.40 pagi tadi.

Beliau berkata, ketika itu beberapa anggotanya sedang membuat rondaan di kawasan Batu 7 ½ di Padang Serai sebelum melihat sebuah kenderaan jenis Proton Saga dinaiki empat lelaki itu dalam keadaan mencurigakan.

“Pasukan kita mengekori kenderaan tersebut, namun mereka bertindak memecut laju dan setelah memperkenalkan diri sebagai polis mereka kemudian berhenti di lokasi kejadian sebelum seorang daripadanya melepaskan tembakan ke arah anggota polis,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, malah ada antara penjenayah terbabit turut memegang parang dan keadaan itu katanya menyebabkan polis terpaksa bertindak balas dengan menembak kesemua empat mereka.

Bagaimanapun tiada anggota polis yang cedera dalam insiden itu dan hasil pemeriksaan ke atas kenderaaan, pihaknya menemukan sepucuk pistol dan dua bilah parang milik penjenayah terbabit.

Awal Julai lepas polis memaklumkan bahawa Geng Tebuk itu yang sebelum ini aktif di kawasan selatan tanah air, telah melakukan kegiatan tersebut di negeri ini membabitkan jumlah kerugian kira-kira RM100,000 dengan wang rompakan turut dipindahkan ke Vietnam.

Empat daripadanya sudah didakwa di Mahkamah Majistret Jitra baru-baru ini. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast