Datuk Seri Mustafar Ali
Datuk Seri Mustafar Ali

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen akan menjalankan operasi besar-besaran bermula tengah malam ini bagi menjejak pendatang asing tanpa izin (PATI) dan majikan yang masih menggajikan PATI selepas tamatnya Program Penghantaran Pulang PATI Secara Sukarela (3+1) hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata jabatannya telah berkali-kali menegaskan program itu tidak akan disambung selepas 30 Ogos 2018 dan mereka yang masih berdegil akan dikenakan tindakan undang-undang.

“Masyarakat lemas dengan keberadaan warga asing yang terlalu ramai sehingga memberikan satu sosio-budaya berbeza contohnya dalam soal kebersihan dan tempat-tempat tertentu didominasi golongan ini.

“Sebab itu dengan semangat Hari Kebangsaan esok, Imigresen akan merdekakan negara kita daripada PATI,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan jabatan itu, di sini hari ini.

Menurutnya, sejak 1 Jan hingga Selasa lepas (28 Ogos), seramai 181,529 PATI telah mendaftar dan pulang ke negara asal menerusi Program 3+1.

Daripada jumlah itu, Mustafar berkata seramai 102,904 PATI melakukan kesalahan tinggal lebih masa manakala 78,625 pula tiada pas atau permit yang sah.

Katanya ketika ini terdapat kira-kira 1.74 juta pekerja asing berdaftar secara sah di negara ini, namun adalah sukar untuk menganggarkan jumlah PATI yang bekerja secara haram.

Beliau berkata Jabatan Imigresen telah menjalankan 9,449 operasi di seluruh negara sejak 1 Jan hingga semalam dan menahan seramai 29,040 PATI serta 879 majikan.

Katanya tangkapan tertinggi melibatkan warga Indonesia iaitu 9,759 orang, Bangladesh (5,959), Filipina (2,820), Myanmar (2,715) dan bakinya dari negara lain.

Jabatan Imigresen turut mempercepatkan proses pendakwaan dan pengusiran tahanan supaya tidak melebihi kapasiti depot tahanan dengan 30,122 daripadanya telah diusir ke negara asal sepanjang tahun ini hingga Selasa lepas.

Dalam pada itu, Mustafar berkata bagi mengurangkan risiko potensi pelawat asing bertukar status menjadi PATI, seramai 43,429 pelawat asing telah ditolak kemasukan (NTL) sepanjang tahun ini.

— BERNAMA