Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Masnizam Hisham akan menamatkan perkhidmatan pada 2 September ini selepas dilantik menerajui kumpulan tersebut pada 18 Januari lalu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Masnizam Hisham akan menamatkan perkhidmatan pada 2 September ini selepas dilantik menerajui kumpulan tersebut pada 18 Januari lalu.

KUALA LUMPUR – Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Masnizam Hisham akan menamatkan perkhidmatan pada 2 September ini selepas dilantik menerajui kumpulan tersebut pada 18 Januari lalu.

Beliau yang mencipta nama sebagai wanita pertama menerajui syarikat pengangkutan itu telah menerapkan budaya “Mencipta Prasarana 2.0” melalui kempen “Just Say It” dan “Do What Is Right” untuk melonjakkan kecemerlangan Prasarana.

Bulan lalu, khabar angin kontrak Masnizam yang sepatutnya berakhir pada 2020 akan ditamatkan bertiup kencang namun Lembaga Pengarah Kumpulan Prasarana menolak dakwaan tersebut.

Masnizam berkhidmat di Prasarana sejak 2005 sebagai Ketua Bahagian Perundangan dan Setiausaha Syarikat di RapidKL selain menjawat Ketua Bahagian Perolehan Kumpulan, Ketua Bahagian Komunikasi dan Pemasaran Strategik serta Ketua Pegawai Perkhidmatan Infrastruktur Prasarana.

Beliau dilantik menerajui Kumpulan Prasarana menggantikan Datuk Sri Azmi Abdul Aziz yang tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Disember 2017.

Berikut adalah nukilan penuh Masnizam yang disiarkan di laman Facebook Prasarana.

Bismillah Ar Rahman Ar Rahim

Assalamualaikum & Salam Sejahtera Warga Kumpulan Prasarana

Saya ingin maklumkan bahawa perkhidmatan saya di Prasarana akan berakhir pada 2 September 2018. Memandangkan saya tidak dapat berjumpa dengan rakan-rakan sekalian untuk mengucapkan terima kasih dan memohon maaf, saya menukilkan di ruangan ini.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua rakan sekalian yan¬g telah bekerja bersama-sama saya sejak tahun 2005. Seperti yang selalu saya katakan, terima kasih kepada anda yang berunifom kuning, merah dan biru kerana andalah yang telah membayar gaji saya dengan bertungkus lumus mengendali dan menyelenggarakan bas dan tren.

Saya bersyukur kerana berpeluang untuk menyumbang tenaga dan kepakaran di dalam membangunkan kemudahan pengangkutan awam di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kuantan bersama anda.

Sehingga hari ini, banyak perubahan yang memberi impak yang besar kepada kehidupan rakyat dapat dikecapi dan kemajuan dijana untuk memacu kejayaan negara ini dengan penambahbaikan sistem pengangkutan awam yang dipelopori oleh Kumpulan Prasarana.

Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang telah berkorban tenaga dan masa menyokong saya di dalam mengendalikan operasi tren Al Mashaer Al Mugaddasah Metro di Mekah, yang merupakan operasi tren paling mencabar di dunia.

Saya tidak mungkin dapat melakukannya tanpa kesatuan hati dan tenaga dari semua yang terlibat sama ada di Mekah atau pun yang menyokong dari jauh di Malaysia, kakitangan mahupun ahli keluarga.

Saya masih ingat betapa getirnya apabila diarahkan untuk mengetuai pasukan Prasarana di Mekah satu (1) bulan sebelum musim haji pada tahun kedua kontrak Prasarana. Apatah lagi sebagai satu-satunya wanita dari Malaysia di dalam tenaga kerja berjumlah 17,000 orang dan berdepan dengan klien Arab dan penumpang tren yang berbilang warganegara. Namun kita dapat buktikan bahawa anak tempatan dari Malaysia merupakan pengendali tren yang handal di persada antarabagsa, kita bukan jaguh kampung.

Dengan itu, saya mahu rakan-rakan sekalian yakin dengan kebolehan dan kepakaran yang dipunyai oleh kita. Rakyat Malaysia sememangnya mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi, dan dalam banyak situasi cemas semasa operasi tren, kita berjaya menampilkan kita lebih cekap dan mahir di dalam mengendalikan situasi dari “Mat Saleh” yang dipandang tinggi di sana.

Walaupun saya tidak berpeluang untuk terus melonjakkan nama Kumpulan Prasarana lagi, namun saya berharap budaya baru yang ingin saya terapkan untuk “Mencipta Prasarana 2.0” melalui kempen “Just Say It” dan “Do What Is Right” dapat diteruskan.

DNA baru yang perlu mengalir di dalam badan warga Prasarana haruslah terdiri daripada:
a. Cost Conscious/ Pentingkan Kos;
b. Profesional; dan
c. Client Centric/Utamakan Pelanggan.

Sekiranya kita tegas di dalam penjagaan kos, mungkin kita tidak akan berada di dalam keadaan kewangan yang meruncing seperti hari ini. Apabila saya mula memegang jawatan Presiden dan CEO Kumpulan Prasarana pada 18 Januari tahun ini, saya berdepan dengan kedudukan kewangan atau aliran tunai yang hanya cukup untuk 3 bulan sahaja manakala kos untuk LRT3 telah melonjak melampaui budget yang ditetapkan.

Pelbagai usaha telah dijalankan dan alhamdulillah, berkat kesatuan hati dan kesedaran menjaga kos oleh rakan-rakan sekalian, sehingga bulan Julai tahun ini, kita telah berjaya menjimatkan kos sebanyak RM175 juta yang memungkinkan Prasarana mengurangkan kerugiannya sebanyak RM200 juta pada hujun tahun ini. Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah untuk menaikkan jumlah penumpang kerana kita mempunyai kapasiti yang besar dan memacu enjin untuk mendapatkan pendapatan “Non-Fare” atau pun pendapatan selain penjualan tiket.

Saya bersyukur dan ingin megucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan kerana telah pun meluluskan terbitan sukuk/bond yang membolehkan pembayaran gaji warga Prasarana untuk bulan September dan beberapa bulan yang akan datang. Sekurang-kurangnya, tidaklah saya meninggalkan Kumpulan Prasarana tanpa ketentuan gaji kakitangan. Namun, rakan sekalian perlu berjimat cermat kerana masa hadapan yang mencabar.

Saya berharap rakan sekalian akan terus menyokong Ahli Lembaga Pengarah dan Presiden dan CEO Kumpulan yang baru dan nama baik Prasarana dipertahankan. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada rakan sekalian, barisan kepimpinan dan Ahli Lembaga Pengarah dan semoga Allah SWT akan terus memberi rahmat, berkat dan perlindunganNya kepada kita semua.

Sekian, terima kasih. Maafkan saya dan doakan saya.
Ikhlas daripada,
Puan Mas
30 Ogos 2018

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast