Berdasarkan Dasar Harga Terangkum (SPP), peniaga perlu menyerapkan SST dalam harga yang dipamerkan bagi mengelakkan kekeliruan. 
Berdasarkan Dasar Harga Terangkum (SPP), peniaga perlu menyerapkan SST dalam harga yang dipamerkan bagi mengelakkan kekeliruan.  - foto hiasan

SEREMBAN – Peniaga diminta menyerap terus Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) pada harga yang dipamerkan bagi mengelakkan kekeliruan.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan Ain Arjuna Aziz Zaman berkata berdasarkan Dasar Harga Terangkum (SPP), peniaga perlu menyerapkan SST dalam harga yang dipamerkan bagi mengelakkan kekeliruan.

“Pemantauan hari ini ke beberapa premis makanan dan minuman kita dapati ada premis yang hanya menampalkan notis bahawa pelanggan akan dikenakan SST dan ada juga premis yang telah menyerap terus SST pada harga yang dipamerkan,” katanya ketika ditemui selepas menjalankan pemantauan di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata peniaga juga diingatkan agar tidak mengenakan SST ke atas barangan dan perkhidmatan terutamanya yang melibatkan stok sedia ada semasa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kosong peratus.

“Kalau harga tiba-tiba berubah hari ini ia sedikit meragukan kerana barangan yang dibuat pada tarikh hari ini yang boleh dikenakan SST,” katanya.

Ain Arjuna berkata pengguna pula dinasihati untuk mempertahankan hak mereka dengan melaporkan sebarang kenaikan harga yang mendadak serta mengemukakan bukti seperti resit sebelum dan selepas pelaksanaan cukai SST.

“Peniaga yang menaikkan harga akan diberi notis untuk mengemukakan justifikasi dan penjelasan mengikut Seksyen 21 Akta Mengenai Punca Kenaikan Harga yang tidak munasabah dalam pasaran,” katanya.

Berkuat kuasa hari ini, SST dilaksanakan dengan kadar 10 peratus bagi cukai jualan dan enam peratus cukai perkhidmatan, menggantikan GST susulan Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan 2018 dan RUU Cukai Perkhidmatan 2018 diluluskan Parlimen pada 20 Ogos lepas.

Sebelum ini, GST mula dikuat kuasa pada 1 April 2015 dengan kadar enam peratus setelah diperkenalkan kerajaan terdahulu bagi menggantikan SST.

Sementara itu, Pengarah Pejabat KPDNHEP Kelantan Firdaus Zakaria berkata pihaknya kini melakukan pemantauan di seluruh negeri itu bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak berlaku kenaikan harga yang tidak sepatutnya.

Beliau berkata senarai harga barangan sebelum SST dilaksanakan telah dikumpulkan sebagai rujukan dan perbandingan harga selepas ia dilaksanakan.

“Jika peniaga dikesan menaikkan harga yang tidak sepatutnya notis akan dikeluarkan dan tindakan mengikut Akta Anti Pencatutan akan dikenakan,” katanya.

Pengarah Pejabat KPDNHEP Kedah Mohamad Fitri Hassan yang dihubungi Bernama pula berkata masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai harga barang dan perkhidmatan.

“Pelaksanaan SST bermula hari ini jadi masih terlalu awal untuk saya buat kenyataan tetapi kami akan jalankan pemeriksaan harga dan sebarang maklumat akan diberikan kemudian,” katanya.

— BERNAMA