Sebahagian pengunjung tidak melepaskan peluang bagi mendapatkan barangan peribadi artis secara harga lelong pada Preloved4u Charity Sale di Hotel Tamu, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 01 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Ukhuwah  For Ummah (U4U) menerusi Squad Celebrity Global Volunteers meraih dana kemanusiaan sebanyak RM2.4 juta untuk disalurkan kepada empat projek pembangunan di luar negara.

Presidennya, Mohamad Sharudin Dawam berkata, ia melibatkan negara seperti di Malawi, Bosnia & Herzegovina, India dan Filipina.

Beliau menjelaskan, setiap negara menerima kira-kira RM600,000 hasil pelbagai aktiviti yang diamalkan sepanjang tahun ini.

“Kami mengatur pelbagai pendekatan berbeza setiap aktiviti bagi mendekati masyarakat dan menyampaikan kempen kesedaran berkenaan isu kemanusiaan yang berlaku di peringkat global.

“Sejajar visi U4U yang ingin mewujudkan dunia yang prihatin, kami menggembeleng usaha bersama Islamic Relief Malaysia (IRM) dalam memastikan selebriti terlibat menyelami kehidupan dan penderitaan yang dilalui penerima manfaat di empat negara, sekali gus dapat menyebarkan mesej kemanusiaan itu kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Prelove4U Charity Sale di sini hari ini.

Projek Squad Celebrity Global Volunteers dilancarkan pada awal tahun ini oleh Ketua Pegawai Eksekutif (IRM), Zairulshahfuddin Zainal Abidin dan Mohamad Sharudin.

Ia melibatkan 12 selebriti yang terdiri daripada pelbagai bidang seni seperti penyanyi, pelakon, penyampai radio dan social media influencer.

Antara yang terlibat Fara fauzana, Ashraf Muslim, Diana Amir, Faizal Ismail dan Zoey.

Mereka dibahagikan kepada empat kumpulan untuk menyertai misi ke empat negara berkenaan menerusi pelbagai aktiviti.

Mengulas lanjut, Mohamad Sharudin berkata, acara hari ini mendapat sokongan lebih 20 artis tempatan yang turut menyumbang barangan peribadi mereka untuk dilelongkan dan diderma kepada tabung Squad Celebrity.

Katanya, antara mereka adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Erra Fazira,  Johan As’ari, Catriona Ross dan artis Indonesia, Oki Setiana Dewi.

“Acara ini merupakan satu peluang kepada selebriti yang berlainan bidang bekerjasama sebagai satu pasukan bagi melaksanakan projek kemanusiaan di peringkat global,” katanya. – MalaysiaGazette