Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bercakap kepada media ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 OGOS 2018
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. foto FAREEZ FADZIL, 16 OGOS 2018

PETALING JAYA – Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kerjasama di antara parti itu dengan UMNO bukan untuk menimbulkan polemik dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

Sebaliknya katanya, kedua-dua parti tersebut akan memastikan jalinan yang diwujudkan bakal memberikan kebaikan kepada semua kaum dalam negara.

“Perbincangan Pas dengan UMNO atau parti lain dalam kerangka besar bukan untuk menimbulkan polemik kepada orang bukan Islam. Tidak.

“Kalau Pas duduk bersama UMNO bukan bermakna kita mengenepikan hak kaum lain di Malaysia muafakat ini memberi kebajikan besar kepada seluruh rakyat di negara kita,” katanya semasa Ceramah Umum kempen Pas untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia semalam.

Turut hadir pada ceramah umum itu adalah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hasan.

Ini merupakan pertama kali pemimpin Pas dan UMNO bersama-sama untuk saling membantu kempen di DUN Seri Setia.

Tambah beliau, parti pembangkang kedua-dua parti perlu duduk semeja untuk menguatkan kedudukan bagi menewaskan Pakatan Harapan (PH) yang disifatkannya memperolehi kemenangan pada pilihan raya lalu menerusi persepsi fitnah yang dimainkan mereka kepada pengundi.

“Ada satu gelombang besar berlaku selepas PRI14 bukan sekadar pertukaran kerajaan tetapi perubahan dimensi politik negara pada masa depan.

“Apa yang penting kita cari titik persamaan tersebut, membesarkan titik persamaan supaya mengecilkan titik-titik perbezaan di antara Melayu Islam apatah lagi kita ada banyak titik persamaan

“Fitnah tidak akan kekal, dan kerajaan yang naik kerana fitnah akan tumbang, insyAllah,” ujarnya.

Sementara itu, beliau membidas tindakan PH yang bersungguh-sungguh menarik pelabur ke negara ini selepas mendakwa Malaysia bakal bankrup sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Bayangkan kerajaan Pakatan Harapan 100 hari dah kelam kelibut, bayangkan kalau masa 5 tahun .

“Tidak ada satu negara yang dilancarkan tabung digambarkan negara teruk, lepas tu pergi China minta negara itu melabur. Pelabur mana nak datang tuan-tuan?

“Ada orang nak melabur di tempat nak bankrap yang sering dikatakan?

“Dan kita jangan menyalahkan balik pelabur menarik balik pelaburan di negara Malaysia. Mereka (pelabur) hilang keyakinan sebab mereka (Pakatan Harapan) yang buat,” jelas Ahli Parlimen Kubang Kerian itu. – MalaysiaGazette