Halimey Abu Bakar
Calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar bercakap pada sidang media sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Seri Setia di Pangsapuri Seri Jati, Ara Damansara, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 02 SEPTEMBER 2018

PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) komited untuk mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia susulan kempen minggu terakhir Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia yang kini mencecah 80 peratus.

Calon PH, Halimey Abu Bakar berkata, pendekatan beliau menyantuni pengundi dari rumah ke rumah hampir di semua derah mengundi antara kelebihan untuk memastikan kerusi itu kekal milik PKR pada 8 September ini.

“Alhamdulillah sekarang kita sudah capai hingga 80 peratus, kita keluar berjumpa dengan pengundi, program juga alhamdulillah di setiap daerah mengundi dilakukan dengan baik.

“Dengan berbaki seminggu lagi, kita mempertingkatkan ziarah rumah ke rumah, berjumpa pengundi dan paling penting sekali kita uar-uarkan untuk mereka keluar mengundi pada 8 September ini dan jangan lupa calon PH.

“Sekarang pun tengah berjalan (kempen) di setiap daerah mengundi, kita pergi rumah ke rumah, kita berjumpa dengan setiap pengundi-pengundi di Seri Setia,” katanya pada sidang media hariannya di Pangsapuri Seri Jati, Ara Damansara, di sini, hari ini.

Halimey Abu Bakar
Calon Pakatan Harapan (PH), Halimey Abu Bakar (tengah) bercakap pada sidang media sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Seri Setia di Pangsapuri Seri Jati, Ara Damansara, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 02 SEPTEMBER 2018

PRK Seri Setia diadakan pada 8 September ini susulan penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, 56, meninggal dunia akibat kanser usus tahap empat pada 2 Ogos lalu.

Beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Kerajaan Negeri Selangor dan juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau adalah bekas Timbalan Naib Canselor UNISEL dan Ahli Lembaga Pengarah Institut Darul Ehsan (IDE).

Shaharuddin dilantik menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (AMMKN) Selangor selepas memenangi kerusi DUN Seri Setia dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast