Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa diiringi penulis, Datuk Dr. Denison Jayasooria (tiga kiri) dan Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara, Prof Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin (dua kanan) bergambar bersama buku pada Majlis Pelancaran Buku Suatu Perjalanan Hidup di Bangunan Pentadbiran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor. foto IQBAL BASRI, 03 SEPTEMBER 2018.

BANGI – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata kerajaan tidak gusar dengan pelaksanaan hukuman enam kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu terhadap dua wanita hari ini.

Katanya, hukuman yang dijalankan itu adalah yang ditetapkan dalam lunas undang-undang dan ia dibuat mengikut kaedah Islam yang sebenar.

“Selagi perkara itu adil dan ada peruntukan undang-undang, maka itu satu proses undang-undang yang biasa dilalui oleh sesiapa.

“Apa sahaja jenayah selagi ikut proses undang-undang dan ada peruntukan kearah itu maka kita harus menghormati keluruhan undang-undang,” katanya kepada media hari ini.

Mujahid mengulas mengenai Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail yang menjatuhkan hukuman enam kali sebarang kepada dua wanita yang didapati bersalah melakukan hubungan sejenis.

Perkara itu dijalankan di bilik mahkamah Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu dengan menggunakan seorang pegawai penjara wanita berbadan besar untuk tujuan itu.

Menurut Mujahid lagi, hukuman itu dijalankan setelah kedua-dua mereka tidak mengemukakan sebarang rayuan berhubung tuduhan terbabit.

“Saya mengambil sikap bahawa selagi perkara itu berjalan mengikut undang-undang, saya difahamkan mereka mengakui bahawa mereka telah lakukan kesalahan yang termaktub dalam Enakmen Musahaqah yang berkaitan dengan kesalahan antara perempuan dengan perempuan.

“Mereka diberi 14 hari untuk merayu tetapi mereka tidak berbuat demikian. Saya difahamkan kaedah mereka dikenakan sebatan itu juga mengikut kaedah Islam yang tidak menyakitkan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette