Keberkesanan Program Podium dimanfaatkan oleh jaguh berbasikal negara, Mohd. Azizulhasni Awang pada Sukan Asia 2018.

JAKARTA – Beberapa atlet dan jenis sukan dalam Program Podium bakal menghadapi tindakan disingkirkan daripada program elit itu selepas gagal mencapai sasaran dalam dua temasya sukan terbesar disertai tahun ini.

Selain Sukan Komanwel Gold Coast pada April lalu, prestasi dan pencapaian 148 atlet dalam program tersebut akan dinilai dalam masa terdekat selepas berakhirnya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 hari ini.

Ketua Program Podium, Dr P. Vellapandian menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan persatuan sukan kebangsaan yang gagal menepati sasaran walaupun banyak bantuan sains sukan telah diberikan untuk atlet di bawah seliaan masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, tahap keberkesanan beberapa jenis sukan seperti terjun dan badminton yang menyerlah di pentas antarabangsa akan dikaji semula dan akan terus diberi bantuan bagi memantapkan keputusan yang lebih baik.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika mengulas prestasi dan pencapaian atlet Program Podium dalam Sukan Asia 2018 di Kedutaan Malaysia di Jakarta, hari ini.

Sementara itu, Vellapandian menegaskan program berkenaan perlu diteruskan kerana sasaran utamanya ialah melihat atlet Malaysia meraih emas dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Kalau kita hendak lihat keberkesanan program ini, kita perlu tunggu sehingga 2020, namun kita di Institut Sukan Negara (ISN) sentiasa memantau prestasi program latihan atlet dan saya akui ada kelemahan di pihak ISN yang perlu kita tambah baik untuk memastikan program ini mencapai matlamatnya,” katanya.

Pandangan beliau turut disokong oleh ketua kontinjen negara ke Sukan Asia 2018, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

“Walaupun kita gagal mencapai sasaran untuk menduduki kelompok 10 negara terbaik kali ini, namun beberapa atlet kita berjaya menempatkan diri dalam kelompok enam terbaik di Asia.

“Sasaran utama program ini adalah untuk atlet kita meraih pingat emas dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, jadi peruntukan sudah ada dan kita sudah nampak prestasi yang boleh ditingkatkan dengan adanya bantuan sains sukan,” tegas Abdul Azim yang juga bekas pengerusi ISN.

Beliau menambah, keberkesanan program berkenaan jelas dipamerkan oleh jaguh berbasikal negara, Mohd Azizulhasni Awang, yang meraih satu emas, perak dan gangsa serta pemain skuasy negara, Ng Eain Yow, yang meraih emas dalam acara berpasukan lelaki.

Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, program elit itu adalah baik, namun atlet perlu memanfaatkan sepenuhnya bantuan sains sukan menerusi program berkenaan untuk mencapai kejayaan.

“Dari segi pandangan MOM, kita perlu melihat perkara ini dengan lebih serius dan mengenal pasti masalah yang wujud supaya menghadapi saingan Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan lebih berkesan,” jelasnya.

Program Podium merupakan salah satu inisiatif Pelan Prestasi Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan yang dilancarkan pada 2016 dalam merealisasikan pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain muncul 10 pasukan terbaik dalam Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2018. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast