SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Rizam Ismail memberi jaminan, beliau tidak akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang Selangor.
dalam Dewan Negeri Selangor Penggal ke-14, kali ini.
Rizam berkata, kini bukan masa untuk menolak jawatan yang begitu penting kepada rakyat sebagai semak dan imbang untuk pentadbiran kerajaan negeri khususnya memantau perbelanjaan peruntukan.
“Bagi saya tak perlu (letak jawatan), bukan masanya kita berpolitik dan ini masanya untuk kita menjadi pembangkang yang dapat membela rakyat, itu paling penting.
“Kalau asas kita berada di kerusi ini, atas dasar demi keadilan dan kebenaran untuk kesejahteraan rakyat, saya tiada isu untuk meletakkan jawatan,” katanya ketika ditemui di lobi Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim hari ini mengumumkan pelantikan Rizam sebagai Ketua Pembangkang Selangor berkuat kuasa serta-merta.
Suee Lim berkata, pelantikan itu dibuat setelah pihaknya menerima surat pencalonan jawatan tersebut daripada Barisan Nasional (BN) Selangor pada 27 Jun lalu.
Rizam juga tidak menolak untuk menerima jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan (PAC) bagi membantu mengimbangi pentabdiran kerajaan negeri.
“Saya akan terima (Pengerusi PAC) atas dasar membantu dan mengimbangi Kerajaan Negeri Selangor agar mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dan mentadbir tanpa merasa terlampau kuat dan jitu.
“Perlu ada pengimbang terutamanya dalam PAC. Saya bersedia. Setakat ini saya belum dimaklumkan perkara ini,” katanya.
Katanya, terdapat keperluan untuk mengembalikan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) untuk memantau penggunaan dana awam negeri itu.
“Saya fikir perlunya ada SELCAT dikembalikan dalam kalangan pembangkang Adun Sungai Panjang, Datuk Imran. Datuk Mohd. Imran Tamrin pun boleh duduk dalam SELCAT.
Tambahnya, sikap ADUN Barisan Nasional pada penggal ke-13 lalu yang menolak peruntukan Kerajaan Negeri Selangor tidak akan berulang pada penggal kali ini.
“Landskap politik sudah jauh berubah selepas pasca PRU14 ini yang mana kita lihat pada hari ini secara keseluruhan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan dikuasai oleh Pakatan Harapan (PH).
“Kita mengambil kira perkara ini dan perlunya kita pembangkang ada peruntukan dan kemudahan untuk memastikan perjalanan kerajaan negeri berjalan yang diharapkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette