KELANA JAYA – “Pengundi di DUN Seri Setia tidak mengenai calon Pas berbanding saya,” kata calon Pakatan Harapan Halimey Abu Bakar.
Tambahnya, Dr Halimah Ali tidak memberikan khidmat kepada DUN itu seperti beliau yang mempunyai pengalaman sebagai ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebelum ini.
“Sebab masyarakat di DUN Seri Setia tahu perkhidmatan saya selama ini 10 tahun, berbanding Halimah apa yang dia buat di DUN Seri Setia?
“Dia pun bukan pengundi DUN Seri Setia,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama parti itu.
Berbaki lagi tiga hari menjelang Pilihan Raya Kecil DUN tersebut, Halimey enggan berhadapan dengan Halimah dalam mana-mana debat sebaliknya hanya mahu meneruskan kempen.
“Bagi saya kita hanya tinggal lagi beberapa hari sahaja lagi, kita nak bekerja lagi dua hari. Kita nak fokus untuk DUN, untuk apa nak didebatkan bagi saya tidak perlu perkara ini.
“Jadi bagi saya tidak perlu saya akan tumpukan untuk jumpa pengundi,” tambah beliau. -MalaysiaGazette