PETALING JAYA – Calon Pas Dr Halimah Ali menempelak seterunya yang sering menggunakan isu ‘anak tempatan’ sebagai bahan kempen menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia tidak lama lagi dan menyifatkannya sebagai tidak berfikiran terbuka.
Katanya, sekalipun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari luar kawasan, tidak bermakna pengundi akan terabai sambil memberi contoh pemain bola sepak ‘import’ yang mampu menunjukkan prestasi yang lebih baik.
“Tidak menjadi isu kepada saya (calon tempatan atau tidak. Sebenarnya yang lahir di sini, lahir di sini, saya rasa itu cara pemikiran lama. Kita sudah melalui anjakan paradigma sama ada lahir sini ke tidak ke. Contoh, kenapa sesebuah negara boleh nak bayar seorang pemain import?
“Ia kerana dia adalah pemain yang paling perform (berkhidmat).
“Ini bukan kampung, ini bandar. Orang akan berubah sekejap sini, sekejap tempat lain. Ini bandar, dia tak boleh fikir macam orang kampung,” katanya kepada pemberita selepas tinjauan mesra di Sekolah Kebangsaan Kg Lindungan sebentar tadi.
Sambil berseloroh Halimah berkata sebagai anak tempatan DUN ini, Halimey hanya memberi kelebihan kepada dirinya sendiri yang boleh mengundi dirinya sendiri berbeza calon Pas itu yang bergantung sepenuhnya kepada pengundi.
“Jadi sama ada dia lahir sini atau tidak, perbezaannya ialah ia akan menambah satu undi Halimey akan mengundi Halimey, Dr Halimah tidak mengundi Dr Halimah. Ada 54,000 pengundi yang akan memilih antara Dr Halimah atau Halimey,” tambahnya.
Halimey ketika sidang media pagi tadi berkata dirinya lebih dikenali dan berjasa kepada penduduk sekitar DUN itu kerana pernah menjadi ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) lebih 10 tahun berbanding Halimah Ali.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia 8 Septermber nanti menyaksikan pertandingan dua penjuru di antara Pakatan Harapan dengan Pas.
Ini merupakan kali kelima Halimah bertanding mewakili Pas, beliau juga merupakan ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan bekas exco kerajaan negeri Selangor.-MalaysiaGazette