Muhammad Zharif Johor

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa perlu mengambil langkah penguatkuasaan bagi melumpuhkan medium komunikasi ceti haram atau ah long untuk mengelak masyarakat terjebak permasalahan akibat meminjam wang dengan mereka, menurut Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Pengarah Unit Banteras Ceti Haram PPIM, Zharif Johor berkata, pihaknya menerima 11,650 aduan berkaitan ah long sejak 2015 daripada pengadu berusia antara 18 hingga 70 tahun.

“Kerajaan perlu melumpuhkan medium komunikasi dan promosi perkhidmatan ah long dengan memastikan poster iklan pinjaman ah long tidak wujud dan membatalkan talian nombor telefon yang dipamerkan menerusi iklan itu selain menangkap mereka dalam usaha membanteras kegiatan ah long,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas menjadi tetamu pada program Ruang Bicara Khas, Gerakkan Kuasa Pengguna terbitan Bernama News Channel bertajuk ‘Ah Long, Bukan Mahu Tolong?’ malam tadi.

Turut hadir Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan dan bekas ah long yang juga Pengarah Operasi Unit Banteras Ceti Haram PPIM Azman Kang.

Zharif berkata, pihaknya percaya langkah berkenaan mampu mengatasi masalah itu berikutan ah long tidak mempunyai pejabat untuk berurusan dan hanya berhubung dengan peminjam menerusi talian telefon serta mengiklankan perhidmatan mereka menerusi poster yang ditampal di tempat awam.

Beliau berkata, berdasarkan statistik, sebanyak 65 peratus pengadu yang mempunyai masalah dengan ah long adalah disebabkan berjudi, diikuti meminjam wang untuk membantu kawan yang mempunyai masalah kewangan, ingin gaya hidup mewah, membeli dadah selain berkahwin.

Katanya, PPIM berperanan mendidik masyarakat tentang bahaya ah long dan membantu menyelesaikan aduan berkaitan ah long dari segi rundingan, menetapkan jumlah tuntutan dan menyusun semula pembayaran balik peminjam.

Sementara itu, Azman menzahirkan kekesalan beliau menjadi seorang ah long seawal usia 20 tahun pada 1996.

Azman, 43, atau lebih dikenali sebagai ‘Ah Soon Gila’ semasa bergiat aktif dengan kegiatan ah long berkata beliau mula terjebak dengan aktiviti haram itu semata-mata ingin mendapatkan pulangan wang yang banyak dengan mudah.

“Pada mulanya kawan saya yang terjebak dengan pinjaman ah long tetapi ah long mencari saya untuk menuntut bayaran balik pinjaman kawan saya itu tetapi saya tidak dapat membayarnya.

“Sejak peristiwa itu, saya pula menjadi ah long kerana melihat pada jumlah wang yang perlu dibayar semula oleh peminjam terlalu banyak… tetapi wang itu tidak berkat,” katanya yang memeluk Islam pada 2003.

Menceritakan antara pengalaman sebagai ah long seperti menyimbah cat, mengancam peminjam dan bergaduh dengan kumpulan ah long lain yang bersaing kawasan merupakan perkara biasa yang pernah dilakukannya selama kira-kira 10 tahun terlibat dalam aktiviti itu.

Katanya beliau mula tersedar untuk berhenti daripada terus melakukan kegiatan ah long apabila ditangkap dan dinasihat oleh Nadzim pada 2006.

Azman yang berasal daripada Taiping, Perak mengakui bukan mudah untuk berubah apabila beliau kemudian kembali menjalankan kegiatan ah long tidak lama selepas itu sehingga kembali insaf atas sebab yang enggan didedahkan dan menyertai PPIM pada 2015.

  • Bernama