Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pihaknya mengadakan ‘Program Suai Kenal Minyak Sawit’ kepada anggota Parlimen Eropah supaya dapat melihat sendiri industri sawit negara.
Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pihaknya mengadakan ‘Program Suai Kenal Minyak Sawit’ kepada anggota Parlimen Eropah supaya dapat melihat sendiri industri sawit negara.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tetap komited dan sentiasa mengambil langkah-langkah proaktif dalam menangkis sebarang persepsi negatif berkaitan dengan komoditi sawit negara pada tiap masa.

Antaranya dengan mendapatkan peruntukan tambahan sebanyak RM23 juta daripada Kementerian Kewangan yang akan digunakan untuk mempromosi komoditi itu daripada terus diserang dengan resolusi anti-minyak sawit.

Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pihaknya mengadakan ‘Program Suai Kenal Minyak Sawit’ kepada anggota Parlimen Eropah supaya dapat melihat sendiri industri sawit negara.

Jelas beliau, dengan peruntukan tambahan ini serta sokongan dan mandat daripada senator dan anggota Dewan Rakyat, kerajaan dapat bergerak secara sistematik dengan negara luar seperti Indonesia bagi menjadi satu kuasa yang boleh menentukan pasaran.

“Kerajaan akan teruskan program Suai Kenal Minyak Sawit untuk Ahli Parlimen Eropah untuk melihat sendiri amalan mampan industri sawit Malaysia, usaha untuk salurkan maklumat tepat tentang sawit negara juga akan diteruskan.

“MPOB juga bentangkan kertas kerja di persidangan antarabangsa sebagai usaha meningkatkan kesedaran mengenai industri sawit negara. Program dialog dengan pengguna minyak sawit dan produk sawit di EU juga akan dipergiatkan dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff berhubung langkah proaktif yang diambil kerajaan bagi menangkis serangan resolusi anti minyak sawit Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan Awam dan Keselamatan Makanan (ENVI) Parlimen Eropah.

Tambah Shamsul Iskandar, Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara pengeluar minyak sawit yang lain di Council of Palm Oil Producing Countries (CPOPC) untuk memberi kesedaran serta penekanan kemampanan pembangunan industri sawit serta sumbangnnya kepada pembangunan sosio ekonomi negara-negara pengeluar sawit.

“Beberapa siri mesyuarat dua hala antara Malaysia dengan Kesatuan Eropah (EU) juga telah diadakan yang bertujuan mmeberikan maklumat tepat mengenai industri sawit negara terutamanya dari aspek kemampanan, produktiviti, daya saing industri sawit dan pelaksanaaan Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) secara mandatory menjelangya 31 Disember 2019.

“Malaysia juga bekerjasama dengan negara-negara pengeluar minyak sawit dunia dalam usaha menjaga kepentingan industri sawit masing-masing. Umpamanya, pada bulan Feburuari 2018 di Brussels, Belgium, tujuh negara pengeluar utama Colombia, Ecuador, Guatemala, Indonesia, Mlaysia, Nigeria dan Thailand tandatangani surat bantahan,” ujarnya.

Resolusi antiminyak sawit ENVI yang dibuat pada 23 Oktober tahun lepas, mengharamkan bahan api-bio sawit memasuki EU bermula 2021, manakala bahan api-bio berasaskan tanaman makanan lain mulai 2030.

Kerajaan Malaysia secara diplomatic telah menyuarakan bantahan sekeras-kerasnya terhadap keputusan pengundian Parlimen Eropah dan mengambil beberapa langkah proaktif menangani masalah di EU serta merta. – MalaysiaGazette