Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad memberikan sijil penghargaan kepada peserta larian pada Majlis Perasmian Penutup Program Cancer Walk Sayangi Malaysia di Institut Kanser Negara, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 07 SEPTEMBER 2018.
Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad memberikan sijil penghargaan kepada peserta larian pada Majlis Perasmian Penutup Program Cancer Walk Sayangi Malaysia di Institut Kanser Negara, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 07 SEPTEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan tetap komited akan menjaga kebajikan rakyat dalam penjagaan kesihatan walaupun berdepan kekangan kewangan.

Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya akan berusaha sendiri mencari dana bagi membeli mesin-mesin canggih mengikut keperluan pesakit.

“Kementerian sangat memerlukan peruntukan tambahan daripada kerajaan persekutuan namun tidak akan diberikan sehingga tahun 2019.

“Semuanya gara-gara hutang yang ‘lumayan’ ditanggung kerajaan ketika ini dan sedang menyelesaikannya secara bijak.

“Namun saya sendiri akan mencari dana sehingga RM3 bilion untuk membeli mesin-mesin canggih untuk keperluan pesakit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucapa pada majlis penutup Cancer Care Walk Sayangi Malaysiaku di Institut Kanser Negara di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, penyakiy kanser adalah salah satu penyebab utama kematian di Malaysia.

Jelasnya merujuk kepada Health Facts 2017, pada tahun 2016, kanser menyumbang kepada 12.6 peratus kematian di hospital-hospital kerajaan dan merupakan penyebab kematian keempat tertinggi.

Katanya, di hospital swasta pula, kanser adalah penyebab utama kematian sebanyak 26.7 peratus.

“Menurut Laporan Malaysian National Cancer Registry Report 2007-2011 (MNCR) yang diterbitkan pada tahun 2016, sebanyak 103,507 kes-kes baru kanser dilaporkan dari tahun 2007-2011.

“Menurut laporan ini juga, kanser payudara sebanyak 17.7 peratus diikuti oleh kanser kolorektal (13.2 peratus) dan kanser paru-paru (10.2 peratus) adalah tiga jenis kanser yang tertinggi di Malaysia.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) menganggarkan bahawa kira-kira 30 hingga 50 peratus kejadian kanser boleh dicegah.

“Faktor-faktor risiko boleh ubah kanser dikaitkan dengan tingkah laku dan amalan berisiko seperti berat badan yang berlebihan, pengambilan makanan yang kurang sihat, kurang melakukan aktiviti fizikal, merokok dan pengambilan alkohol,” katanya.

Dzulkefly memberitahu, penyakit kanser juga dikaitkan dengan jangkitan seperti hepatitis dan Human Papilloma Virus (HPV) apabila menyumbang kepada 25 peratus kejadian kanser di negara-negara yang berpendapatan rendah dan sederhana seperti Malaysia.

Selain itu katanya, kanser juga dikaitkan dengan faktor-faktor risiko tidak boleh ubah seperti umur, jantina dan genetik. – MalaysiaGazette