Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Mohamed Elias Abu Bakar (tengah) membuat lawatan ke tempat pusat mengundi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil N.47 Balakong di Sekolah Menengah Kebangsaan Perimbun, Cheras, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 08 SEPTEMBER 2018

BALAKONG – Suruhanjaya Pilihan Raya memohon maaf terbuka kepada para petugas media yang dihalau oleh Ketua Pusat Daerah Mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras Perdana Balakong pagi tadi.

Setiausaha SPR Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata, beliau memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi para wartawan yang terpaksa berdepan masalah membuat liputan daripada pegawai SPR dalam kejadian 11 pagi tadi sempena Pilihan Raya Kecil di Balakong hari ini.

“Kami (SPR)memohon maaf atas perkara yang berlaku di pusat ini. Sebenarnya sangat jelas tentang arahan kita media dibenarkan masuk ke dalam mana-mana pusat mengundi, cuma tidak dibenarkan masuk di saluran-saluran mengundi.

“Saya dah pergi empat pusat mengundi di Seri Setia dan juga Balakong yang mana satu kes seumpama diterima dan telah diselesaikan cepat.

“Mungkin salah faham antara saluran dan pusat mengundi.. kadang kadang pegawai bertukar dan tak jelas. Saya mohon maaf kepada anda (media) semua. SPR sentiasa bersama media dan bekerjasama baik,” tegasnya sambil berjanji memastikan perkara itu tidak berulang lagi.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai beberapa pemberita termasuk wartawan dan pemberita Bernama News Channel dan portal online serta beberap jurugambar dihalau oleh Ketua Tempat Mengundi itu daripada memasuki kawasan pusat undi itu.

Pegawai itu dengan nada keras menghalau pengamal media tanpa memberi ruang mendapatkan penjelasan selepas diminta sebab dihalau memandangkan pusat mengundi lain dibenarkan masuk.

Bagaimanapun pegawai SPR itu bersama seorang pemerhati PRK di pusat itu bertindak kasar dengan mengatakan:” kalau encik dibenarkan masuk pusat mengundi lain dialu-alukan pergi sana.

“Ini kawasan saya, sila keluar sekarang juga,” kata sambil memnggil polis untuk tindakan lanjut.

Pengamal media terpaksa meredah hujan lebat yang turun secara mengejut mencari tempat berteduh di hadapan sekolah itu. – MalaysiaGazette