Iskandar Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata parti itu telah mengarahkan jentera kawasan Parlimen Pandan untuk bersiap sedia sekiranya berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu dalam masa terdekat.

“Seluruh jentera pilihan raya PAS Kawasan Pandan di semua peringkat agar bersiap sedia untuk kemungkinan PRK P.100 diadakan di waktu yang terdekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yang Dipertuan Pas Kawasan Pandan itu berkata, Pas perlu bersiap sedia untuk menghadapi PRK kerana PKR akan mengosongkan satu kerusi Parlimen bagi membolehkan presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki Dewan Rakyat pada Oktober depan.

Dalam pada itu, PKR berkata pengumuman mengenai kerusi parlimen yang akan ditandingi Anwar hanya akan dibuat sekembalinya beliau dari Hong Kong, Rabu ini.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Ujar Saifuddin, kerusi yang akan dipilih oleh Anwar itu nanti adalah kerusi paling selamat berdasarkan kepada kajian serta mengambil kira keputusan pada PRU 14 lalu. -MalaysiaGazette