Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Kepedulian pengundi Melayu yang memberikan undi kepada calon Pas, Dr Halimah Ali pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Sabtu lalu memberi isyarat bahawa sokongan mereka kepada pembangkang berada pada tahap yang tinggi.

Malah, Pakatan Harapan (PH) bakal menghadapi masalah sokongan daripada pengundi kaum Cina yang dilihat tidak kisah untuk mempertahankan kerajaan walaupun penasihat DAP, Lim Kit Siang, kata Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Menurut beliau, kemenangan Halimah yang mendapat undi sekali ganda berbanding PRU ke 14 sebelum ini menunjukkan orang Melayu telah sedar golongan mana yang teraniaya di bawah pemerintahan kerajaan PH.

“Saya kira tahap kepedulian yang tinggi di kalangan pengundi Melayu yang diperlihatkan dalam PRK DUN Seri Setia ini adalah kerana orang Melayu hari ini sedar bahawa golongan mana yang teraniaya di bawah pemerintahan kerajaan PH hari ini.

“Pegawai kerajaan yang dibuang kerja dan cemuh itu dari golongan itu siapa? Peneroka Felda yang tertipu itu siapa? Nelayan yang teraniaya itu siapa? Rakyat yang kena SST itu siapa?

“Mereka yang dijanjikan dengan janji pembayaran PTPTN yang tidak dikotakan itu, Raja yang dihina itu Raja siapa, bahasa yang dipersenda itu bahasa siapa?

“Dan status peribumi yang dikatakan sebagai pendatang itu terkena pada siapa? Dan agama yang dihina itu agama siapa? Orang Melayu sudah sedar semua itu,” katanya menerusi status di laman Facebook milik beliau.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, segelintir pengundi di kawasan tersebut juga tidak endah seruan Kit Siang yang mengharapkan mereka turun beramai-ramai untuk membuang undi kerana bagi mereka apa-apa keputusan PRK DUN Seri Setia tidak akan mampu merubah keadaan.

“Kini sebahagian pihak berpuas hati kerana apabila tiada GST, mereka yang untung. Sistem cukai yang lemah, mereka juga yang untung. Pengiktirafan UEC, mereka untung. Pemberian tanah selama 999 tahun, mereka terus mendapat untung.

“Adanya tender terbuka mereka untung. Harga naik mereka untung. Jawatan dalam Kabinet mereka untung. Parti lain berpecah mereka juga mendapat,” ujarnya.

Justeru, kata Annuar, pola jumlah pengundian yang diperlihatkan kali ini sebenarnya adalah mengikut tahap kepuasan masing-masing atau kelompok tertentu.

“Bolehlah kita semua mula merenung ke hadapan untuk kita memilih jalan seterusnya.” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast