Nor Aizam Abd Kadir
Presiden Pertubuhan Pembangunan Komuniti Malaysia, Nor Aizam Abd Kadir bercakap kepada media selepas membuat laporan polis mengenai salah guna kuasa Jabatan Kastam di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 10 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) didesak menyiasat tindakan seorang pegawai tertinggi agensi kerajaan yang didakwa menyalahgunakan kuasa menukar nama Muzium Kastam DiRaja Malaysia kepada nama seorang individu.

Presiden Pertubuhan Pembangunan Komuniti Malaysia, Nor Aizam Abdul Kadir berkata, ia adalah cubaan melobi bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Ali Hamsa untuk menyambung kontrak perkhidmatannya yang berakhir pada September ini.

“Kita beranggapan ini salah satu kemungkinan wujudnya unsur-unsur penyalahgunaan kuasa dan rasuah apabila nama muzium itu ditukar kepada nama KSN.

“Kita melihat beliau dah nak bersara wajib pada September ini, mungkin ketika itu Tan Sri Ali Hamsa masih lagi berkhidmat, dia cuba membodek atau mengangkat nama beliau untuk disambung kontraknya.

“Kita serah kepada pihak dalaman dan pihak berkuasa untuk membuat siasatan,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Polis Dang Wangi, di sini, hari ini.

Nor Aizam dipercayai merujuk kepada Ketua Pengarah Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Datuk Seri Subromaniam Tholasy yang didakwa menamakan Muzium Kastam DiRaja Malaysia di Melaka kepada Muzium Kastam Tan Sri Dr Ali Hamsa pada Mac 2018.

Tindakan Subromaniam itu dilakukan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan kini beliau masih meneruskan khidmatnya dalam pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sepatutnya bersara wajib pada September ini.

Nor Aizam berkata, sebagai kerajaan baharu, PH perlu membersihkan agensi kerajaan itu sebagai mana tindakan sama dilakukan ke atas semua kementerian dan agensi penguat kuasa lain di negara ini.

“Kita tidak tuduh tapi kita menafsirkan melalui laporan polis supaya masyarakat ke depan melalui kami sebagai wakil NGO memberitahu ada kemungkinan ada unsur-unsur negatif.

“Dengan kerajaan baharu, Kerajaan PH hendakkan perkara yang telus, kita tak mahu perkara berunsur negatif ini menjadi impak kepada golongan muda dan masyarakat apatah lagi melibatkan institusi DiRaja,” katanya.

Katanya lagi, penglibatan pegawai tertinggi agensi kerajaan itu dalam pertubuhan haram sebagai alat untuk menjaga kepentingan pihak tertentu juga perlu dipandang serius oleh pihak berkuasa.

“Beliau juga dipercayai bertindak sebagai tulang belakang kepada pertubuhan tidak berdaftar, Malaysian Indian Custom Officers (MICOF) sebagai alat untuk melobi kenaikan pangkat dan penempatan di pintu-pintu masuk pelabuhan negara.

“MICOF juga dilhat berbaur perkauman dengan menjaga kepentingan kaum tertentu sahaja dan ia tidak wajar wujud dalam sebuah agensi kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast