KUALA LIMPUR – Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin membuat ‘kejutan’ apabila dengan lantang meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk sendiri membuat pengumuman tentang dirinya bakal bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson hari ini.
Malah Zuraida bertegas, Anwar yang telah mengasaskan PKR dengan prinsip demokrasi ketelusan dan demokrasi disifatkan seolah-olah gagal selepas ada pihak lain yang membuat keputusan tanpa menjunjung prinsip perjuangan parti itu selama ini.
Dakwa Zuraida yang juga merupakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), tindakan pengosongan kerusi Port Dickson sebenarnya tidak mengikut saluran yang betul oleh mantan Ahli Parlimennya, Datuk Danyal Balagopal Abdulah.
“Setiap keputusan yang diambil oleh parti perlu dilaksanakan secara musyawarah untuk mendapatkan sokongan dari seluruh anggota parti dan konsensus yang perlu dicapai selari dengan semangat reformasi serta demokrasi.
“Tetapi dalam perihal Danyal mengosongkan kerusi Port Dickson untuk memberi laluan kepada Anwar yang keputusannya di buat oleh sesetengah pihak sahaja dilihat dangkal dan selain tidak mengikut saluran betul.
“Pastinya kami begitu mendambakan kepulangan Anwar ke Parlimen Malaysia, bukan kami sahaja tetapi setiap ahli dan seluruh rakyat Malaysia. Tetapi pada masa yang sama, cara pelaksanannya tidak betul,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Ampang itu mengulas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sah akan bertanding di Parlimen Port Dickson selepas penyandang kerusi tersebut, Danyal meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta.
Surat peletakan jawatan beliau telah diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat pagi ini.
Danyal membuat pengumuman tersebut dalam satu sidang akhbar khas di ibu pejabat PKR di sini hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Pada masa yang sama, Zuraida juga melahirkan rasa khuatir proses membuat keputusan ini sebenarnya tidak dijalankan secara terbuka, telus dan demokratik .
“Tindakan ini sebenarnya akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat dan seolah-olah memperlihatkan PKR telah dimanipulasi oleh ‘kelompok’ tertentu.
“Adalah amat penting keseluruhan kepimpinan tertinggi PKR menjunjung tinggi agenda reformasiyang kita perjuangkan selama bertahun ini. Saya amat berharap Anwar sendiri akan mengumumkan pendirian beliau tentang isu,” tegasnya. – MalaysiaGazette