Sebuah kedai makan meletakkan iklan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan kadar 6 peratus ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di sekitar Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 01 SEPTEMBER 2018
Sebuah restoran meletakkan iklan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan kadar 6 peratus ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di sekitar Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 01 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR- Sebanyak 75 peratus daripada kedai dan restoran yang sebelum ini mengutip Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan dibenarkan mengutip Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) selepas nilai ambang bagi cukai yang diperkenalkan semula pada 1 September lalu itu dinaikkan kepada RM1.5 juta berbanding RM500,000 semasa era GST.

Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, nilai ambang tersebut adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding semasa pelaksanaan GST.

Tambahnya, kini hanya 4,372 restoran yang mendaftarkan perniagaan mereka di bawah SST berbanding 17,574 restoran di bawah GST, iaitu empat kali ganda lebih besar di bawah GST.

SST juga katanya, menyaksikan harga kereta yang lebih rendah apabila sekurang-kurangnya lima jenama kereta iaitu Perodua, Honda, Toyota, Volkswagen dan BMW lebih murah berbanding dengan GST antara RM2,000 hingga RM3,000 sebuah.

Kerajaan juga memberikan pengecualian SST terhadap bahan dan perkhidmatan binaan berlainan dengan GST yang mengenakan enam peratus.

Ini telah disambut baik oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Pulau Pinang yang bersedia menurunkan harga rumah sehingga 10 peratus untuk rumah melebihi RM300,000, manakala diskaun 6 peratus dikenakan bagi rumah mampu milik yang berharga RM300,000.

“Kerajaan Persekutuan amat mengalu-alukan sebarang keputusan daripada pemaju untuk menurunkan harga rumah selari dengan pengecualian SST ini. Saya akan berjumpa dengan REHDA Malaysia untuk membincangkan samada langkah sama di Pulau Pinang boleh diamalkan di seluruh negara,” katanya lagi.

Kerajaan juga menurut Guan Eng sentiasa komited untuk memastikan harga barang terkawal dengan pelaksanaan SST yang  kini telah ditambahbaik.

Kementerian Kewangan dengan kerjasama pihak Jabatan Kastam DiRaja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sentiasa menjalankan kempen antipencatutan kerana memang ada peniaga yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga dengan sewenang-sewenangnya dan Kerajaan meminta kerjasama daripada orang awam untuk memberikan maklumat tentang kenaikan harga barang yang tidak munasabah.  -MalaysiaGazette