Mohamed Hanipa Maidin
Mohamed Hanipa Maidin

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin mendakwa Ahli Dewan Negara Barisan Nasional (BN) mahu memalukan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Ini berikutan tindakan Ahli Dewan Negara BN menolak usul pemansuhan Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018 selepas dibacakan buat kali kedua yang digulung oleh beliau.

Hanipa yang bercakap dengan media di lobi Parlimen berkata, tindakan itu sebenarnya tidak menjejaskan diri beliau atau PH sebaliknya sikap mereka sedang diperhatikan oleh rakyat.

“Dari awal lagi kita sudah sedia maklum jumlah Ahli Dewan Negara dalam kalangan BN lebih ramai, mereka pilih untuk undi belah bahagi, kita terima dan hormat.

“Hari ini senator-senator BN cuba ‘memalukan’ PH, tidak apalah. Itu hak mereka. Saya tidak marah sebaliknya ‘gembira-gembira’ sahaja.

“Tapi mereka perlu ingat, tingkahlaku ini sedang diperhatikan oleh rakyat jelata. Wahai Ahli Dewan Negara BN, sila hati-hati kerana anda sedang diperhatikan. Bagaimanapun, ini cuma beli masa, bukan boleh ditolak begitu sahaja ikut undang-undang.

“Pemansuhkan rang undang-undang bukan sesuatu yang begitu terdesak ketika ini, kita akan bawa balik usul ini ke Dewan Rakyat bawah artikel 68 dalam tempoh tidak kurang dalam setahun dari sekarang,” katanya di lobi Dewan Negara hari ini.

Hanipa mengulas keputusan Dewan Negara menolak usul pemansuhan Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018 selepas dibacakan buat kali kedua.

Keputusan menolak pemansuhan rang undang-undang itu dibuat hasil undi belah bagian oleh ahli-ahli Dewan Negara.

Undi belah bagian tersebut menunjukkan 28 ahli Dewan menolak pemansuhannya, manakala hanya 21 yang menyokong dan tiga lagi tidak mengundi.

Undi tersebut yang diusulkan oleh Senator Khairul Azwan Harun dan perkara itu dipersetujui Yang diPertua Dewan Negara, Tan Sri S. Vigneswaran selepas usul berkenaan disokong lebih daripada lapan senator dalam kalangan BN.

Tambah Hanifa, beliau seringkali dilontarkan persoalan adakah undang-undang ini sebenarnya akan digunakan bagi ‘mengenakan’ pembangkang namun ianya tidak benar.

“Pada kami, ini bukan tentang pembangkang atau kerajaan terdahulu. Pada kami, undang-undang ini bermasalah dan perlu dimansuhkan, itu sahaja,” tegasnya.  – Malaysia Gazette