PETALING JAYA – Tidak timbul isu pampasan kepada wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengosongkan kerusi sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) mahu pun Parlimen kepada pihak lain bertanding.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, tindakan Datuk Danyal Balagopal Abdullah yang mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak diberikan pampasan.
“Sama ada wujud atau tidak sebarang pampasan ditawarkan oleh Datuk Seri Anwar atau parti (PKR) kepada Datuk Danyal, sebenarnya tiada.
“Itulah ‘kecantikan’ menjadi ahli PKR, kita tiada isu tentang itu (pampasan),” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.
Saifuddin berkata, tindakan mengosongkan kerusi DUN dan Parlimen oleh wakil rakyat di negara ini bukan perkara baharu sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu malah tiada sebarang pampasan dibayar kepada wakil rakyat terbabit.
“Kita ada contoh seperti Rafizi Ramli bila dia dihukum penjara, tidak boleh ambil bahagian (PRU-14), kemudian Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail masuk bertanding di Parlimen Pandan
“Kes ini juga tiada pampasan ditawarkan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette