Ibu kepada pesakit autisme, Hasnah Abdul Rahman melihat keratan akhbar sambil ditemani oleh anaknya yang jugak pesakit autisme, Ahmad Ziqri Morshidi di Villa Orkid, Bukit Prima Pelangi, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 10 APRIL 2018
Ibu kepada pesakit autisme, Hasnah Abdul Rahman melihat keratan akhbar sambil ditemani oleh anaknya yang jugak pesakit autisme, Ahmad Ziqri Morshidi di Villa Orkid, Bukit Prima Pelangi, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 10 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Penahanan seorang remaja kerana didakwa mencabul seorang wanita baru-baru ini cukup mengejutkan saya.

Remaja yang didakwa itu bukan sesiapa dengan saya. Cuma saya pernah mengenalinya semasa mewawancara ibunya, Hasnah Abd. Rahman beberapa bulan lalu bagi satu rencana mengenai autisme.

Wawancara itu tidak pun sampai separuh hari tetapi setiap detik bersama keluarga kecil Hasnah cukup memberi pengertian betapa besarnya pengorbanan seorang wanita yang bergelar ibu tunggal membesar dan mendidik serta menjaga dua anak istimewanya.

Anak-anak Hasnah – Aidel Rahman Morshidi, 17, seorang penghidap asperger dan Ahmad Ziqri Morshidi, 22, pula seorang autisme.

Ahmad Ziqri atau lebih mesra disapa Ziqri yang saya temui semasa wawancara itu nampak sihat dan sempurna pada fizikal.

Namun melihat kepada gerak gaya, apatah lagi apabila dia bercakap, sesiapa sahaja boleh meneka bahawa pemuda berkulit cerah ini adalah golongan istimewa.

MGF10042018_TEMUBUAL PESAKIT AUTISME14
Ibu kepada pesakit autisme, Hasnah Abdul Rahman bermain tablet sambil ditemani dua anaknya yang merupakan pesakit autisme, Aidie Rahman (kiri) dan Ahmad Ziqri (kanan) ketika ditemubual di Villa Orkid, Bukit Prima Pelangi, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 10 APRIL 2018

Ziqri tidak ganas dan boleh dikatakan lebih mesra berbanding adiknya Aidel yang pendiam dan suka bersendirian.
Tetapi gerak laku Ziqri sukar untuk dijangka.

Sekejap dia menyebut dua nama artis kesayangannya – pasangan Amira Rosli dan Amar Bahrin dengan nada yang tinggi (seperti menyatakan keterujaan). Sekejap dia masuk ke bilik dan keluar semula dengan menutup telinga dengan kedua-dua belah tangan.

Kalaulah saya bukan wartawan yang biasa bertemu pelbagai ragam manusia atau sekiranya saya secara peribadi seorang yang suka menghukum orang lain mengikut kaca mata sendiri dan tidak bersedia menerima orang lain yang berbeza atau pengetahuan mengenai autisme yang saya miliki hanya sekadar betapa genius dan berapa ramai penghafal al-Quran dalam kalangan golongan ini, mungkin saya sudah lari meninggalkan rumah tersebut dalam keadaan ketakutan.

Tetapi saya tahu setiap individu austime mempunyai masalah spektrum berbeza walaupun mempunyai persamaan dalam beberapa perkara.

MGF10042018_TEMUBUAL PESAKIT AUTISME08
Ibu kepada pesakit autisme, Hasnah Abdul Rahman bergambar bersama anaknya yang penghidap sakit autisme, Ahmad Ziqri di Villa Orkid, Bukit Prima Pelangi, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 10 APRIL 2018

Inilah perkara utama mengenai austime yang perlu kita tahu.

Sepanjang kira-kira dua jam bersama Hasnah dan Ziqri, saya melihat sisi lain yang ditunjukkan remaja itu.

Ziqri ada kelembutan, kebaikan dan ketulusan hati budinya.

Sesekali Ziqri menghampiri saya, memanggil saya dengan panggilan kakak. Beliau meminta ibunya menunjukkan gambar-gambar mereka di Facebook.

Remaja ini juga meminta saya mengusap kepalanya seperti seorang anak kecil.

Memang kelakuannya sukar dijangka tetapi saya yakin dia tidak ganas apatah lagi memasang niat untuk melakukan sebarang serangan seksual.

Dalam wawancara itu, saya juga berpeluang menemubual pembantu rumah Hasnah yang telah bersama keluarga itu hampir 20 tahun.

Melihat linangan air matanya wanita yang berasal dari Indonesia itu ketika berkongsi cerita, hati saya cukup terusik dan sukar dizahirkan.

Biarpun tiada pertalian darah tetapi kasih sayangnya cukup tebal buat kedua-dua anak syurga tersebut.

Melihat pula kesungguhan, kekuatan dan semangat Hasnah  – saya rasa Aidel dan Ziqri anak yang cukup bertuah.

Mereka berdua juga memiliki ibu yang istimewa dari segi kekuatan mental dan fizikal.

Betapa kental jiwa Hasnah menjalani kehidupan bersama-sama dua anak istimewanya,

Wanita itu juga sangat aktif dalam memberi kesedaran mengenai autisme kepada masyarakat.

Saat beliau berkongsi cerita tentang pengalaman dan pengetahuan mengenai austisme di luar lingkup kehidupannya bersama Aidel dan Ziqri, membuatkan saya rasa cukup kerdil.

Sedikit dan terhadnya ilmu saya mengenai insan-insan istimewa ini.

Di luar sana pula, ada dalam kalangan kita yang hanya memandang sebelah mata, mencebir bibir dan paling hebat menghukum semua perilaku mereka yang ‘aneh’ di mata kita yang kononnya serba-serbi sempurna.

Ada dalam kalangan kita yang sempurna ini sedikit pun enggan menjatuhkan ego untuk melihat anak-anak istimewa ini daripada perspektif berbeza.

Kalaulah masyarakat kita lebih cakna atau mengambil peduli tentang autisme, mungkin kesilapan Ziqri tidak sampai ke peringkat sekarang.

Tragisnya buat Ziqri yang terpaksa tidur di dalam lokap pada malam hari lahirnya.

Terpaksa memakai pakaian oren dengan tangan bergari, berpisah dengan ibunya dan menjadi tumpuan umum secara tiba-tiba.

Meskipun bukan salah polis yang mematuhi prosedur standard operasi atau silap pengadu yang membuat laporan polis, diharapkan kes Ziqri ini membuka mata lebih banyak pihak untuk memahami, mendalami dan mendekati golongan ini.

Semoga kita menjadi masyarakat Malaysia yang penyayang sesama manusia. – MalaysiaGazette

Baca Selanjutnya:

http://malaysiagazette.com/blog/2018/09/17/penahanan-remaja-autisme-ikut-sop/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Tader compassion and empathy langsung… with Autisme stamp on his forehead ( ooopps no one can see that right ! )… he don’t understand the implication of his action as his brain is wired differently.. someone who is wired like us would not go and fondle someone’s mammary gland in public.. Those refuse to understand this fact is why I called them B&B ..tough words for those ignorants.. plenty of them out there, it seems..moving
    forward our ancestors left us with this ” jangan jadi bodoh sombong”. Knowledge is power, power to be a great caring and compassionate society

Comments are closed.