Penduduk Lombok yang kehilangan rumah akibat gempa bumi mendirikan khemah di kawasan terbuka. foto Agensi

JAKARTA – Lombok yang mengalami gempa bumi kuat pada Julai lalu diisytihar darurat ekoran penularan malaria.

Pusat peranginan itu dilanda dua kali gempa bumi – Julai dan Ogos lalu telah mengorbankan 500 orang dan mengakibatkan kerosakan teruk hospital dan infrastruktur awam lain.

Kerosakan itu dianggarkan sebanyak lima trilion rupiah.

Susulan gempa itu, kumpulan bantuan memaklumkan beratus-ratus penduduk kehilangan tempat tinggal dan hanya mendirikan khemah di kawasan terbuka.

Mereka enggan menetap di pusat perlindungan kerana gegaran berterusan.

Golongan wanita dan kanak-kanak antara 128 orang yang didapati dijangkiti malaria, menurut Ketua Agensi Kesihatan Lombok barat, Rahman Sahnan Putra.

Kerajaan tempatan ini mahu mendapatkan dana sejumlah 3.4 juta rupiah daripada kerajaan pusat dan wilayah untuk dana membeli kelambu nyamuk, alat ujian dan gerakan kecemasan.

Kebanyakan mangsa yang dijangkiti malaria adalah mereka yang tinggal di dalam khemah selepas gempa.- MalaysiaGazette