PKR
Kerani urusetia menyerahkan borang pencalonan pada proses penamaan calon pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tahun 2018 di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya. Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 05 OGOS 2018

PETALING JAYA – PKR alu-alukan tindakan undang-undang daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dua petugas Jawtankuasa Pemilihan Pusat (JPP) jika terbukti bersalah atas kesalahan rasuah.

Menurut Pengerusinya, Datuk Rashid Din parti itu bersedia untuk memberikan kerjasama kepada semua pihak bagi memastikan Pemilihan PKR berlangsung dengan penuh berintegriti.

Beliau berkata demikian mengulas penahanan reman dua lelaki yang merupakan Sekretariat Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR baru-baru ini kerana disyaki cuba meminta sogokan.

“Kami alu-alukan tindakan pantas dan berani SPRM Kedah dalam menangani isu yang berkaitan.

“JPP terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak demi memastikan proses pemilihan parti 2018 ini berjalan dengan penuh integriti, telus dan mengikut peraturan dan tatacara yang telah ditetapkan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat parti itu.

Beliau turut memberi jaminan pemantauan secara konsisten akan dilakukan terhadap semua petugas JPP demi memastikan tiada pelanggaran peraturan dan etika Pemilihan Parti 2018.

“JPP juga telah membuat siasatan dalaman dengan penuh teliti terhadap petugas JPP dan kami nyatakan dengan tegas di sini bahawa setakat ini tiada sebarang penglibatan dan kakitangan JPP dan Petugas di Seketariat JPP Pusat yang terlibat dalam sebarang aktiviti yang melanggar peraturan dan etika pemilihan,”ujarnya.

Dua lelaki itu direman pada 16 September lalu selama enam hari kerana cuba meminta rasuah wang tunai sebanyak RM20,000 daripada seorang calon yang bakal bertanding pada pemilihan PKR bagi negeri Kedah.

Mengulas lebih lanjut Rashid insiden tersebut tidak akan menjejaskan pemilihan parti manakala kedua-dua lelaki yang ditahan itu telah dipecat.

“Ia tidak menjejaskan kita punya pemilihan walaupun dia tu kita punya Koordinator Kedah tapi kita dah ada pecat dan penggantinya,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast