KUALA LUMPUR – Seramai 105,056 anggota PKR layak untuk mengundi pada pemilihan parti itu yang bermula di dua negeri iaitu Kedah dan Pulau Pinang, Sabtu ini.
Daripada jumlah itu 49,924 anggota layak mengundi di Kedah yang melibatkan 15 cabang manakala 55,132 anggota akan mengundi di 13 cabang di Pulau Pinang.
Pada pemilihan tersebut anggota akan memilih jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) iaitu timbalan presiden, naib presiden, ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pusat, ketua Wanita pusat dan ahli majlis pimpinan pusat.
Pada pemilihan itu juga anggota akan memilih pemimpin di peringkat cabang iaitu ketua cabang, timbalan ketua cabang, naib ketua cabang dan 15 ahli jawatankuasa cabang, selain ketua AMK cabang, timbalan ketua AMK cabang, naib ketua AMK cabang dan 15 ahli jawatankuasa AMK cabang.
Selain itu turut dipilih ialah ketua Wanita cabang, timbalan ketua Wanita cabang, naib ketua Wanita cabang dan tujuh ahli jawatankuasa Wanita cabang.
Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Ismail Yusof berkata pengundian itu akan bermula 9 pagi dan berakhir pada 5 petang.
“Keputusan awal dijangka boleh diketahui seawal jam 6 petang dan akan dipaparkan di pusat tempat mengundi setiap cabang.
“Anggota perlu memastikan mereka membawa kad pengenalan dan telah membayar yuran keahlian untuk melayakkan mereka mengundi. Bagi mereka yang belum membayar yuran keahlian boleh bayar di pusat mengundi, ” katanya ketika dihubungi Bernama.
Seramai 800,000 anggota PKR seluruh negara layak mengundi pada pemilihan parti itu yang akan berlangsung esok sehingga 28 Okt depan.
Bagi negeri-negeri lain pemilihan selepas ini akan berlangsung di Perlis dan Perak pada 23 Sept, Negeri Sembilan dan Melaka (29 Sept), Johor (30 Sept), Kelantan dan Terengganu (5 Okt), Pahang (6 Okt), Wilayah Persekutuan (7 Okt), Selangor (13, 14, 21 Okt), Sarawak (20, 21 Okt) dan Sabah (27, 28 Okt).
Pada penamaan pemilihan 5 Ogos lepas, Datuk Seri Anwar Ibrahim menang tanpa bertanding sebagai presiden apabila tiada calon lain tampil bagi merebut jawatan berkenaan.
Bagi jawatan timbalan presiden akan menyaksikan pertembungan antara Anggota Parlimen Gombak yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Anggota Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.
Kerusi naib presiden yang memperuntukkan empat kekosongan bakal direbut 12 calon, termasuk empat penyandang jawatan berkenaan dan tiga tempat bagi jawatan sama akan dibuat secara lantikan.
Penyandang jawatan itu ialah Anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar; Anggota Parlimen Hang Tuah Jaya, Samsul Iskandar Mohd Akin; Anggota Parlimen Kuala Langat, Dr A Xavier Jeyakumar dan bekas Anggota Parlimen Batu, Tian Chua.
Antara muka baharu bagi merebut jawatan berkenaan ialah Anggota Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen; Anggota PKR Cabang Puchong, Michael Tamil; Anggota Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Anggota Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan; Anggota PKR Cabang Padang Serai, Prof Datuk Dr G. Balasubramaniam dan Anggota Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin.
Bagi jawatan ahli MPP yang memperuntukkan 20 kekosongan pula menyaksikan saingan membabitkan 86 calon.
Jawatan ketua Wanita PKR menyaksikan pertembungan antara Anggota Parlimen Kuantan Dr Fuziah Salleh dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya Haniza Mohamed Talha.
Bagi jawatan ketua AMK menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Anggota Parlimen Johor Bharu, Akmal Nasir; ADUN Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi dan ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin.
Pemilihan parti kali ini juga mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya dilaksanakan menggunakan sistem e-undi (undi secara digital) serta mengguna pakai konsep satu ahli satu undi´.
— BERNAMA