Rais Yatim
Rais Yatim

KUALA LUMPUR – Ahli veteran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Dr Rais Yatim berkata,  Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menjadi Timbalan Perdana Menteri terlebih dahulu bagi mewujudkan semula gandingan hebat bersama Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu berkata, pada masa sama Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut memiliki peluang kedua untuk memperbetulkan keadaan dan hubungannya dengan Perdana Menteri yang tercetus 20 tahun lalu.

“Lebih baik gandingan ini dihidupkan semula dan kalau serasi habiskan empat tahun serta Mahathir serah jawatan kepada Anwar. Hal-hal yang berlaku sebelum 1998 boleh disusun balik.

“Janji-janji yang dibuat sebelum ini dapat diserahkan (dijayakan) kepada rakyat. Pada saya gandingan Mahathir dan Anwar sangat bagus dan sangat menyerlah.

“Apa yang berlaku pada masa lalu boleh dipercantikkan dan diperelokkan sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran buku Autobiografi Seorang Pemberontak: Kassim Ahmad di sini hari ini.

Beliau ditanya cadangan yang ditulis di Twitter miliknya kelmarin yang menyifatkan gandingan Mahathir-Anwar sebagai “sangat bagus” dan “sangat menyerlah”.

Mengulas lanjut, Rais berkata lebih sesuai isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk memberi laluan kepada Anwar.

“Lebih kena kalau Anwar jadi timbalan (perdana menteri) dan Wan Azizah memilih (jalan) yang terhormat jika ada penyusunan (kabinet),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast