LONDON – Pemain sensasi Liverpool, Mohamed Salah telah menyentuh hati peminat bola sepak apabila memenuhi keinginan penyokong cilik kelab itu.
Selepas aksi Liverpool dan Southampton tamat pada Sabtu lalu, seorang kanak-kanak yang hadir menyaksikan perlawanan itu memegang kertas yang bertulis mesej mengenai impiannya untuk memiliki jersey Salah.
Dia turut menjerit jerit kepada pemain penyerang itu sambil berkata: “Tolong (please) Salah, tolong.”
Tanpa disangka, pemain antarabangsa Mesir itu memenuhi hasrat peminat cilik berusia lapan tahun itu yang terus mengalirkan air mata kerana keinginannya tercapai.
Salah menghampiri tempat duduk penonton sebelum menyerahkan jersi berwarna merah dan satu rakaman video pendek berdurasi 30 saat memaparkan bagaimana kanak-kanak itu menangis kegembiraan selepas menerima pemberian itu.
Malah, video itu kini menjadi tular dan mendapat perhatian ramai di Twitter.
Netizen tampil memuji Salah yan bukan sekadar juara di gelanggang malah turut menjadi juara di hati peminat kerana kebaikan yang dipaparkannya.
Bapa kepada kanak-kanak itu turut mengucapkan terima kasih kepada Salah menerusi laman Twitter miliknya.
Salah turut membalas Tweet berkenaan dengan emoji senyum dan emoji berbentuk hati.
Dalam perlawanan itu, Salah membantu pasukannya menewaskan Southampton dengan jaringan 3 berbalas kosong di Anfield. – MalaysiaGazette