KUALA LUMPUR – Pendirian Tun Dr Mahathir Mohamad menolak perlakuan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) daripada diterima di negara ini adalah langkah tepat dengan ajaran Islam, undang-undang negara, norma masyarakat setempat dan nilai kemanusiaan sejagat.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pendirian Perdana Menteri itu selaras dengan gesaan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mahu semua usaha mempertahan dan mengiktiraf perlakuan LGBT ditolak.
“Saya juga berharap tokoh dan pertubuhan yang memanipulasi prinsip hak asasi manusia untuk tujuan itu dikenakan tindakan sewajarnya tanpa mengira kedudukannya.
“Saya juga menyeru rakyat di negara ini menolak pemimpin yang mesra, menyokong dan mendokong agenda LGBT,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Mohd Khairuddin berkata, sebagai menegaskan pendirian itu, Dr Mahathir harus membawanya kepada Kabinet dan mengeluarkan kenyataan rasmi kerajaan berhubung perkara itu agar usaha mempromosikan perlakuan songsang itu sama ada dalam bentuk pemikiran atau amalan dapat disekat secara menyeluruh.
Katanya, agenda LGBT perlu ditentang bagi memelihara jati diri budaya dan sistem kekeluargaan masyarakat di negara ini daripada dirosakkan seperti yang berlaku di negara barat pada hari ini. – MalaysiaGazette