KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan produk Jus Al Sunnah, Jus Al Sunnah Gold dan Jus Penawar mengandungi dexamethasone dan prednisolone iaitu bahan steroid yang terlarang di bawah Akta Makanan 1983.
Malah, KKM mendapati syarikat Sri Saga Marketing Sdn. Bhd. tidak wujud.
Sehubungan itu, KKM melarang penjualan produk-produk berkenaan dan meminta semua peniaga termasuk peniaga atas talian yang masih mempunyai stok produk tersebut menghentikan serta-merta penjualan semua produk tersebut dan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dexamethasone dan prednisolone adalah steroid yang poten dan ia digunakan untuk rawatan masalah pembengkakkan dan radang yang serius.
Penggunaan dexamethasone dan prednisolone secara berpanjangan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan serius yang boleh membahayakan kesihatan seperti kelemahan otot, kerapuhan tulang, peningkatan gula dalam darah, tekanan darah tinggi, katarak, peningkatan risiko jangkitan dan sindrom cushing.
Pesakit yang menghidap kencing manis adalah berisiko tinggi kerana ia boleh menyebabkan paras gula dalam darah tidak terkawal dan seterusnya boleh mengakibatkan komplikasi yang serius
Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk ini adalah disarankan supaya segera mendapatkan nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan.
Pengguna yang telah mengambil produk ini untuk jangka masa yang lama digesa supaya tidak memberhentikan penggunaannya secara mendadak dan turut mendapatkan nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan.
Ini kerana ini boleh menyebabkan masalah seperti kekeliruan dan penurunan tekanan darah yang boleh membahayakan kesihatan (akibat withdrawal syndrome), katanya.
Dr Noor Hisham menambah, di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983, menyatakan mana-mana individu yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan.
Apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM 100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
KKM ingin menegaskan supaya semua makanan yang dijual di negara ini perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
Adalah menjadi tanggungjawab pihak terlibat seperti pengilang, pembungkus, pengedar, ejen pemasaran dan penjual untuk memastikan produk makanan yang dijual mematuhi perundangan makanan. – MalaysiaGazette