Orang tengah telah menawarkan 'pakej diskaun' kepada majikan yang mahu melanjutkan permit pekerja asing terlatih, tetapi cuba mengelak bayaran levi sebanyak RM10,000 seorang setiap tahun. - foto hiasan
Sistem Biometrik Pemeriksaan Saringan Kesihatan Pekerja Asing bagi menangani masalah pemalsuan identiti.

KUALA LUMPUR – Orang tengah telah menawarkan ‘pakej diskaun’ kepada majikan yang mahu melanjutkan permit pekerja asing terlatih, tetapi cuba mengelak bayaran levi sebanyak RM10,000 seorang setiap tahun.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana, Datuk Michael Kang berkata, orang tengah berkenaan bekerjasama dengan pegawai dan menawarkan ‘bantuan’ untuk menukar maklumat pekerja asing.

Majikan perlu membayar levi RM10,000 setahun untuk melanjutkan perkhidmatan pekerja asing yang sudah mencapai tempoh perkhidmatan maksimum 10 tahun.

Namun begitu, levi untuk pekerja asing yang belum mencapai tempoh perkhidmatan 10 tahun adalah jauh lebih murah iaitu RM1,850 setahun.

Mengambil kesempatan daripada perbezaan harga yang besar, orang berkenaan menawarkan supaya rekod pekerjaan 10 tahun ditukar kepada lima tahun, sekali gus membolehkan majikan melanjutkan tempoh perkhidmatan pekerja asing terlatih dengan levi jauh lebih murah berbanding membayar RM10,000 setiap tahun selama tiga tahun.

Michael memberi amaran bahawa kerajaan mungkin tidak dapat memperoleh apa-apa hasil tambahan melalui levi untuk pekerja asing terlatih jika isu berkenaan tidak dapat diselesaikan.

“Saya sudah menerima banyak laporan mengenai kemunculan orang tengah ini yang menyasarkan pekerja asing yang sudah berada di Malaysia selama 10 tahun dan juga majikan mereka.

“Jika isu levi ini tidak diselesaikan, kutipan RM10,000 akan masuk ke dalam saku orang tengah dan pegawai, bukannya ke dalam Perbendaharaan,” katanya kepada China Press.

Isu levi mengalami keadaan ‘berulang-alik’ apabila Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan bahawa pekerja asing akan menanggung 80 peratus daripada jumlah RM10,000 yang dikenakan.

Kerajaan membuat keputusan itu selepas menerima aduan bahawa jumlah levi yang tinggi terlalu membebankan majikan.

Nisbah tanggungan 80:20 antara pekerja dan majikan itu bagaimanapun dibatalkan kemudian apabila kerajaan mahu majikan menanggung sepenuhnya pembayaran levi sebanyak RM10,000 setahun bagi seorang pekerja asing.

Pembatalan keputusan awal dilakukan kerana  pihak majikan memberitahu pekerja tidak mungkin dapat membayar RM8,000 setahun.
Majikan tanggung sepenuhnya levi RM10,000 – Guan Eng

Guan Eng juga menjelaskan perubahan keputusan kerajaan bukan u-turn, tetapi menunjukkan kerajaan mendengar suara rakyat.

Michael berkata, kerajaan harus bekerjasama dengan pengusaha untuk memastikan kemakmuran negara terjalin.

“Saya bimbang ada sesetengah pengusaha yang tidak berpuas hati dengan kerajaan dan tidak bekerjasama dengan kerajaan dalam soal levi ini. Keadaan ini hanya akan menjejaskan ekonomi negara,” katanya.

Tambahnya, keputusan kerajaan mengenai levi pekerja asing terlatih tidak membantu majikan mengatasi dua masalah utama.

“Isu pertama ialah kos dan isu kedua adalah berkenaan kemungkinan pekerja asing terlatih meninggalkan negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette