imigresen
Sebahagian daripada pelacur yang ditahan oleh Jabatan Imigresen dalam serbuan di Puchong awal pagi tadi. Gambar ehsan Imigresen

KUALA LUMPUR – Seramai 25 wanita warga asing dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran ditahan dalam satu serbuan oleh Jabatan Imigresen di sebuah pusat hiburan di Puchong awal pagi tadi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, turut ditahan dalam operasi itu tiga lelaki warga tempatan yang merupakan pengurus, penjaga dan ejen pengantara dengan pelanggan.

Menurutnya, 24 orang wanita yang ditahan merupakan warga Vietnam manakala seorang lagi adalah warga Indonesia berusia antara 20 hingga 40 tahun.

“Risikan awal mendapati premis tersebut menawarkan perkhidmatan seks dan tiada sebarang papan tanda diletakkan bagi mengelakkan diri dari pandangan pihak penguatkuasa.

“Pada masa yang sama, terdapat beberapa tapisan dan teknik akan dilakukan oleh penjaga premis sebelum membenarkan pelanggan masuk ke dalam premis tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata nama Ahmad Zahid tidak dimasukkan dalam senarai nama yang dikenakan sekatan.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar AliĀ 

Mustafar berkata, aktiviti pelacuran itu beroperasi di bangunan kedai dua tingkat dan tiada sebarang papan tanda di pasang di luar premis.

Tambah beliau, modus operandi yang digunakan sindiket itu ialah menggunakan laman web dan media sosial untuk berurusan dengan pelanggan serta membuat tempahan awal tanpa perlu hadir ke premis itu untuk membuat pemilihan wanita yang diingini.

Katanya, sindiket terbabit menawarkan khidmat seks dengan harga RM160 untuk tempoh selama 45 minit.

Menurut Mustafar lagi, turut diperiksa dalam serbuan itu 15 lelaki warga tempatan dipercayai pelanggan.

“Sebanyak 15 Borang Imm. 29 (Saman kepada Saksi) dikeluarkan kepada mereka untuk hadir membantu siasatan,” ujarnya.

Kesemua yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut, katanya.

Jelasnya, siasatan dilakukan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – MalaysiaGazette