Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kekukuhan ekonomi negara bersandarkan kepada lapan faktor iaitu pertumbuhan yang mantap dan stabil.
KLCC mercu tanda Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia diunjur berkembang pada 4.7 peratus pada 2019 dan 4.6 peratus pada 2020 meskipun berdepan cabaran dan negara dijangka mencapai status negara berpendapatan tinggi antara 2020 dan 2024, kata Bank Dunia.

Bagi 2018, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka menyederhana dalam tempoh terdekat ini, berkembang 4.9 peratus, disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam penggunaan swasta.

Pada 2017, ekonomi Malaysia berkembang 5.9 peratus.

“Sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka, Malaysia akan terus berdepan risiko berikutan ketidakpastian dalam persekitaran luaran,” kata Bank Dunia dalam laporan ekonomi terbaharunya bagi rantau ini.

Dalam laporan “Navigating Uncertainty”, East Asia and Pacific Economic Update edisi Oktober 2018, Bank Dunia berkata, keadaan pasaran kewangan yang tidak menentu, yang berpunca sama ada daripada jangkaan peralihan dasar monetari di ekonomi maju atau krisis di rantau lain, boleh menular ke ekonomi sedang pesat membangun, termasuk Malaysia, menerusi aliran keluar modal dan tekanan terhadap kadar pertukaran.

“Risiko utama lain berkait dengan peningkatan kecenderungan melindungi perdagangan di beberapa ekonomi utama yang boleh membawa kesan negatif ke atas Malaysia, memandangkan tahap integrasi tingginya dengan pasaran global dan kebergantungannya terhadap rantaian nilai global sebagai sumber pertumbuhan,” kata bank itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast