Syed Saddiq
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. foto AFIQ RAZALI, 02 OKTOBER 2018.

KUANTAN: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kecewa dengan pelbagai kepincangan dalam Akademi Mokhtar Dahari (AMD) hasil lawatan mengejutnya di akademi bola sepak berkenaan dekat Gambang di sini, hari ini.

Beliau berkata, akademi dibina dengan harga RM85 juta itu dilihat gagal menepati tujuan pembinaannya sebagai pusat latihan dalam melahirkan bakal pelapis Mokhtar Dahari di negara ini dan bakat bola sepak bertaraf antarabangsa berikutan serba kekurangan dari segi kemudahan latihan dan peralatan.

“Saya sangat kecewa sebaik melihat sendiri permasalahan berlaku di AMD terutama berkaitan kemudahan dan peralatan di situ. Lebih menyedihkan perkara asas melibatkan aspek pemakanan tidak diberi penekanan sehingga ada pemain terpaksa berlapar kerana makanan disediakan tidak menepati kualiti ditetapkan.

“Masalah lain pula seperti bola sepak digunakan untuk latihan tidak mencukupi hingga memberi kesan terhadap prestasi hingga memberi kesan terhadap prestasi pemain termasuk padang latihan yang dilanda banjir,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau meluangkan masa lebih dua jam melawat akademi itu selepas mendapat maklum balas pada sesi dialog bersama beberapa peminat bola sepak tanah air di Kuala Lumpur semalam, yang memintanya membuat audit mengenai segala peruntukan diberikan untuk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Turut mengiringinya Pengurus AMD, Yusof Ibrahim.

Syed Saddiq berkata, faktor ketirisan juga dikesan berlaku di akademi berkenaan menyebabkan misi melahirkan pemain berbakat di negara ini mahupun di peringkat Asia terjejas.

“Dalam hal ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ini kerana masalah ini terlalu besar dan ia perlu diselesaikan segera kerana membabitkan peruntukan sehingga RM85 juta. Bagi saya, kita jangan sesekali menyalahkan pemain jika gagal melahirkan pemain berbakat jika perkara asas tidak diberi keutamaan,” katanya.

Mengenai 740 kerosakan dan kecatatan dikesan berlaku di AMD, beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memanggil kontraktor utama pembinaan akademi berkenaan pada 10 Okt ini.

AMD dirasmikan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada 2014 melibatkan peruntukan RM85 juta dengan objektif membawa dimensi baharu dalam bola sepak negara dengan latihan berprestasi tinggi dan pendedahan bakat di peringkat antarabangsa. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast