KUALA LUMPUR – Anugerah Bintang Popular BH Ke-31 (ABPBH31) malam ini mencatat sejarah apabila pencalonan 13 kategori utama dan lima kategori online Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31 merekodkan jumlah undian lebih 24 juta dalam tempoh sebulan mulai 25 Ogos lalu.
Statistik diperoleh daripada Media Prima Digital (MPD) iaitu pengendali laman web rasmi ABPBH, www.abpbh.com.my, menunjukkan sebanyak 24,271,342 undi diterima mulai 25 Ogos hingga 25 September lalu.
Selain itu, laman web berkenaan mencatatkan jumlah halaman dilihat (page views) sebanyak 7.2 juta setakat ini.
Pengerusi ABPBH 31, Shamshul Azree Samshir berkata, rekod undian lebih 24 juta adalah sejarah baharu bagi acara anugerah berprestij ini yang sudah lebih tiga dekad dianjurkan.
“Kita teruja mengumumkan jumlah undian diterima sepanjang tempoh sebulan proses undian ABPBH 31 berlangsung adalah lebih 24 juta merangkumi undian percuma dan boost, iaitu langganan akhbar digital BH sempena kempen edisi terbaru ABPBH.
“Ini adalah peningkatan berganda berbanding 1.5 juta undian yang diterima pada penganjuran ABPBH 3.0, tahun lalu.
“Kadar undian tertinggi ini membuktikan capaian ABPBH 31 secara digital kali ini adalah padu dan menepati sasaran. Ternyata, peralihan daripada proses undian melalui akhbar kepada digital, memberi impak memberangsangkan sesuai dengan perubahan dunia dan gaya hidup,” katanya dalam satu kenyataan.
Shamshul Azree berkata, rekod baharu undian ABPBH 31 boleh menjadi petunjuk dalam memperkasakan acara anugerah ini untuk edisi seterusnya.
“Kempen agresif melalui media sosial selain pembabitan kelab peminat sebagai rakan promosi memberi impak tersendiri kepada acara ini,” katanya.
Kemuncak ABPBH 31 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pukul 9 malam ini. – MalaysiaGazette