Sebahagian perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI,

PERHIMPUNAN Agung UMNO 2018 sudah pun melabuhkan tirainya pada 30 September 2018 yang lalu. Siapa sangka PAU 2018 kali ini mencipta sejarah baharu, yang mana menyaksikan perwakilan dari sayap-sayap UMNO bersidang sebagai parti pembangkang.

Biarpun begitu, sambutan bagi perhimpunan kali ini tetap meriah dan berjalan dengan lancar sekali.

Secara keseluruhan, saya dapat lihat walaupun tempoh perhimpunan pada kali ini paling singkat tetapi kehadiran dari setiap sayap UMNO sangat memberansangkan.

Dan, apa yang dapat saya perhatikan semangat juang orang Melayu terhadap parti UMNO ini masih belum pernah luntur dan terhakis.

Buktinya, sebelum PAU 2018 berlangsung ada sesetengah pihak mengatakan bahawa perhimpunan kali ini akan suram dan kosong tanpa kehadiran orang ramai kerana UMNO tidak lagi mampu membiayai sebarang kos perjalanan kepada penyokong-penyokongnya.

Ternyata, ini hanya cakap-cakap kosong sedangkan sebaliknya yang terjadi di mana masih ramai lagi yang hadir ke persidangan ini.

Secara tidak langsung ia juga membuktikan bahawa mereka masih mempercayai dan peduli akan perjuangan parti ini walau apa pun tohmahan yang telah dilemparkan terhadap UMNO.

Bahkan saat bahtera UMNO sedang melanda badai yang teruk dapat kita lihat mereka ini yang tetap teguh dan setia bersama UMNO.

Jadi semua ahli UMNO perlu membuka mata, lihat jerit perit pergorbanan dan komitmen yang ditunjukkan oleh akar-
akar umbi ini semata-mata untuk UMNO kekal relevan pada tahun-tahun yang akan datang.

Selepas tamatnya PAU 2018 ini diharapkan apa sahaja yang telah dibincangkan oleh perwakilan-perwakilan dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Dan bukannya retorik kosong yang diterjemahkan kepada seluruh rakyat Malaysia. Lihatlah jika 21 langkah yang diketengahkan oleh Presiden UMNO ini terlaksana, UMNO tidak akan sesekali pupus bahkan tiada sesiapa pun yang mampu membunuh UMNO.

Malah sebagai anak muda yang telah lihat jatuh bangun parti ini, saya mengharapkan parti UMNO akan terus menjadi tulang belakang kepada orang-orang Melayu untuk memperjuangkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara. Saya percaya UMNO masih teguh dan akan tetap bersinar walau apa pun rintangan yang perlu dilalui mereka.

Jika kita lihat dahulu UMNO sebuah parti yang tidak langsung gentar berhadapan dengan musuh sehinggakan laungan MERDEKA mampu dipekikkan di Tanah Melayu. Jadi
mengapa sekarang tidak?

Ini tidak mustahil jika parti ini berani mengambil langkah drastik dan proaktif untuk memperkuatkan dan memperkukuhkan lagi dalaman UMNO.

Jasa dan budi UMNO suatu ketika dahulu harus disematkan dan menjadi pegangan kepada setiap perwakilan untuk kembalikan zaman kegemilangan UMNO walaupun sebagai parti pembangkang.

Tidak mustahil juga jika semua ahli UMNO terus memberikan yang terbaik dan konsisten dalam menentukan hala tuju, ia mampu meraih kembali kepercayaan rakyat terhadap
UMNO.

Apa yang paling mustahak sekarang, semua ahli UMNO harus mencari jalan penyelesaian bagaimana mahu melenyapkan persepsi buruk mengenai UMNO yang dilemparkan oleh
Pakatan Harapan kepada rakyat demi menarik kembali kepercayaan rakyat terhadap perjuangan UMNO.

Dhia Hani,
Persatuan Pemikir Muda Johor

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast