salad jenis Iceberg Lettuce
SINGAPURA – Penguasa Agromakanan dan V eterinar (AVA) Singapura telah melarang pengimportan hasil segar dari ladang di Malaysia yang menghasilkan Iceberg Lettuce (sejenis salad) kerana dicemari dengan bahan kimia pada tahap tinggi, lapor The Straits Times hari ini.

Pada 4 Okt, AVA telah mengarahkan pengimport untuk menarik balik produk berkaitan kerana ia telah mengesan tahap tinggi Fipronil, sejenis racun serangga, pada salad tersebut yang dihasilkan dari ladang di Malaysia.

Produk itu diimport oleh Go Fresh Impex Pte Ltd dan dijual di pasar raya NTUC Fairprice dan Sheng Siong di sini.

Laporan itu yang memetik kenyataan terkini berkata AVA juga telah memaklumkan kepada pihak berkuasa Malaysia bahawa ia telah mengesan tahap Fipronil melebihi kadar maksimum yang dibenarkan dalam produk tersebut.

Laporan itu berkata AVA telah meminta supaya siasatan dijalankan terhadap ladang berkaitan yang tidak dinamakan.

Produk makanan yang gagal dalam pemeriksaan AVA dan ujian makmal tidak akan dibenarkan dijual, pihak berkuasa dilaporkan berkata.

Laporan itu berkata AVA akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pengimport yang membawa masuk produk sayuran yang didapati mempunyai residu racun perosak yang tidak selamat.

Produk berkaitan akan dirampas dan dimusnahkan.

Pengimport juga boleh didenda, atau didakwa, kata laporan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast