Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendesak Kerajaan Pakatan Harapan (PH) melaksanakan pungutan suara atau referendum sebelum Akta Hasutan 1948 dimansuhkan.

Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, rakyat berpeluang membuat undian sama ada bersetuju atau menolak pemansuhan akta zalim yang termaktub dalam manifesto PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Saya mencadangkan jika perlu supaya kerajaan melaksanakan referendum iaitu pungutan suara seperti mana yang dilakukan oleh United Kingdom mengenai isu Brexit.

“Seluruh rakyat diminta keluar membuat keputusan melalui satu pengutan suara sama ada rakyat majoriti sokong atau tidak pemansuhan Akta Hasutan ini.

“Sebelum pemansuhan, semua rakyat berhak berkempen, ada yang menyokong akta ini dimansuhkan, ada yang menyokong akta ini tidak dimansuhkan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Perkasa, di sini, hari ini.

Isnin lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan tidak menetapkan had masa tertentu bagi menghapuskan Akta Hasutan 1948 kerana ia mesti dibentangkan di Parlimen dan memerlukan sedikit masa.

Mahathir berkata, proses pemansuhan akta itu akan mengambil masa sekiranya kerajaan tidak mempunyai majoriti dua pertiga ketika undian dilakukan dalam sidang Dewan Rakyat.

Baru-baru ini, akta berkenaan digunakan polis bagi menahan adik kepada Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, kerana didakwa memuat naik gambar menghina Perdana Menteri di media sosial.

Ibrahim juga menasihatkan Perdana Menteri agar tidak tergopoh-gapah ketika melaksanakan referendum berkenaan dan rakyat perlu diberi masa membuat undian.

“Bagi tempoh sebulan masa berkempen dan buat pungutan suara jika perlu dan jangan tergopoh-gapah.

“Kalau boleh laksanakan janji-janji yang ada kepentingan yang ada kaitan dengan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan juga digesa membentangkan undang-undang alternatif bagi menggantikan Akta Hasutan bagi menjamin keselamatan negara.

“Sudah tiada lagi yang menjadi mekanisme untuk pihak keselamatan menjaga keselamatan negara

“Saya desak kerajaan beri penjelasan, mekanisme apa yang hendak digunakan untuk keselamatan negara dan untuk menjaga kemuliaan Islam, untuk menjaga kedaulatan Raja-Raja Melayu,” katanya.

Katanya lagi, beliau khuatir jika akta itu dimansuhkan, pihak berkuasa akan hilang instrumen yang kuat untuk bertindak bagi menangani huru-hara dan suasana yang boleh mengancam nyawa.

“Ketika itu, jangan salahkan polis dan pihak keselamatan negara.

“Kalau sekadar nak bertindak kepada mereka yang buat kacau, tangkap lepas itu lepas, dibawa ke mahkamah untuk reman bagi tujuan menyiasat, dijamin, perbincaraan mungkin ambil dua tiga tahun bagi satu-satu kes

“Waktu itu nasi sudah jadi bubur,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast