Dr Ibrahim Ali
Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim diumum secara rasmi bakal Perdana Menteri kelapan, separuh pengundi kerusi N132 berpihak kepadanya.

“Ada orang kata tak mungkin jadi, ada orang halang, macam-macam orang kata, tapi rasminya termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengumumkan Anwar bakal jadi Perdana Menteri.

“Bila diumum bakal Perdana Menteri, bagi saya 50 peratus pengundi di Parlimen Port Dickson itu sudah memihak kepada beliau,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Perkasa, di sini, hari ini.

Ibrahim juga berkata, peluang calon bebas, Tan Sri Isa Samad untuk menang di kerusi tradisi PKR itu sukar susulan beliau bukan lagi mewakili parti besar UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Isa ini anak tempatan, berjasa tinggi, mungkin orang Linggi dan Port Dickson berbeza dengan Pasir Mas

“Semua orang kata wakil rakyat yang paling cakna dulu menjaga rakyat ialah Ibrahim Ali di Pasir Mas. Bertahun saya jaga Pasir Mas, saya tatang rakyat Pasir Mas bagai air dalam dulang.

“Bila saya bertanding bebas, saya tak menang tapi saya dapat undi banyak tapi tak menang. Saya rasa Isa pun sama tak menang di Port Dickson sama nasib dengan saya,” katanya.

Ibrahim turut menyifatkan Anwar sebagai ahli politik yang cerdik susulan pemilihan kerusi Port Dickson yang dimenangi PKR sejak 2008 tidak pernah tewas ke tangan BN.

“Sebelum isu 1MDB, sebelum BN kalah pun PRU12 pada 2008 PKR sudah menang.

“Calon PKR Datuk Kamarul Bahrin menang PRU12 pada 2008, PRU13 dia menang, bila calon India menang.

“Sebab itu Anwar cerdik dia pilih baik di Port Dickson kerana undi di sini tak pernah berubah sejak 2008, 2013 dan 2018.

No way Isa boleh menang, cuma boleh mengurangkan sikit majoriti Anwar. Sebab itu jangan syok sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast