MTEM
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman bercakap pada sesi pembentangan kajian Skor Keyakinan Ekonomi bagi Suku Ketiga 2018 di Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (Main), Bukit Damansara, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 11 OKTOBER 2018

KUALA LUMPUR- Hasil kajian yang dilakukan bersama di antara Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dan Kajidata Research Sdn. Bhd. mendapati skor keyakinan ekonomi rakyat menurun sebanyak 2.7 mata kepada 36.6 mata pada suku ketiga tahun ini.

Penurunan itu didorong oleh beberapa faktor antaranya pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 September lalu, pengumuman hutang negara berjumlah RM1 trilion ditambah dengan kelemahan pertumbuhan ekonomi di bawah lima peratus pada suku kedua 2018 serta penyusutan nilai ringgit berbanding dolar Amerika.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Ahmad Yazid Othman, perspektif rakyat terhadap ekonomi negara juga terkesan dengan perubahan polisi ekonomi masa hadapan terutama penurunan pemberian Bantuan Sara Hidup (dahulu dikenali Bantuan Rakyat 1Malaysia) dan kenaikan gaji minimum yang sangat sedikit iaitu RM50 sahaja.

Kajian menunjukkan kaum bumiputera mengalami penurunan ekonomi terbesar sebanyak 3.4 mata (dari 40.7 kepada 37.3 mata), golongan Cina (turun 1.4 mata) dan India (turun dua mata).

Dengan itu, beliau meminta kerajaan di dalam Bajet 2019 supaya memberikan fokus penuh kepada golongan miskin dan terjejas supaya tidak terlalu tertekan dengan keadaan ekonomi semasa.

“Bajet 2019 adalah bajet kritikal bukan sahaja bajet pertama Pakatan Harapan malah apa yang lebih penting ia perlu memberi keyakinan kepada rakyat tentang apa yang akan berlaku pada masa hadapan seperti apa yang kerajaan mahu lakukan untuk membantu rakyat dan bagaimana kerajaan akan menambah pendapatan negara yang terbelit hutang RM1 trilion,” katanya dalam satu taklimat media di sii hari ini.

Tambah Yazid, MTEM menggariskan tiga langkah yang boleh diambil kerajaan dalam mengurangkan beban ekonomi yang ditanggung golongan kurang berkemampuan antaranya dengan meningkatkan pengagihan gaji dalam ekonomi negara yang mana ketika ini 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah disebabkan oleh kekayaan syarikat manakala hanya 35 peratus adalah hasil gaji yang diterima pekerja.

Nilai tersebut adalah sangat kecil berbanding negara-negara maju yang lain seperti Korea, United Kingdom dan Singapura.

Selain itu, MTEM turut mencadangkan supaya Bantuan Sara Hidup dinaikkan secara berperingkat serta bebas unsur politik bagi memberi lebih banyak manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.

MTEM juga meminta supaya nilai perolehan kontraktor bumiputera yang layak dan masih bergantung kepada sektor awam dinaikkan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast