Tan Sri Syed Hamid Albar
Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Syed Hamid Albar berucap pada Ceramah Penutup Tirai Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di PD Waterfront, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 12 OKTOBER 2018.

PORT DICKSON – Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Syed Hamid Albar menggesa agar semua pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson membuat pilihan tepat dengan memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, pengundi Port Dickson perlu memandang ke hadapan dalam memastikan wakil rakyat mereka dapat bekerja demi rakyat.

Malah katanya, hanya Anwar Ibrahim yang boleh menjamin segala janji-janji yang ditabur semasa kempen PRK yang bermula 29 September lalu.

“Kita tinggal dua jam, kita tentukan dan kuatkan tekad kita untuk keluar untuk kita undi calon yang kita fikirkan iaitu memberikan sokongan kepada Anwar,” katanya dalam Ceramah Penutup Tirai Kempen PRK Port Dickson di bilik gerakan utama Pakatan Harapan (PH).

Anwar dijangka memberi ceramah terakhirnya di bilik gerakan utama Pakatan Harapan (PH) pada jam 11.30 malam.

Hadir sama adalah Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa.

Esok, sejumlah 68,317 pengundi di sekitar Port Dickson akan mengundi bagi memilih wakil rakyat ke Parlimen.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lalu bagi membuka jalan untuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Dewan Rakyat.

Pengundi berdaftar yang layak mengundi pada PRK kali ini terdiri daripada 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (dua peratus). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast