Pengundi warga emas, Mohd Shaharuddin Zainal menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Sekolah Kebangsaan Linggi, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 13 OKTOBER 2018

PORT DICKSON – Seorang lelaki berusia 85 tahun antara yang mencuri tumpuan apabila mengundi buat kali ke-15 pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson hari ini.

Mohd Shaharuddin Zainal dari Kampung Linggi yang mengundi buat kali pertama sejak 1954 berkata, dia mengundi bagi memastikan masa depan rakyat di sini terus terbela.

“Saya ini dah 15 kali mengundi di Parlimen Port Dickson, sejak 1954 lagi.

“Alhamdulillah selesai tanggungjawab saya untuk negara. Undi tu kan rahsia,” katanya setelah selesai mengundi di Pusat Pengundian Sekolah Kebangsaan Linggi, di daerah Port Dickson.

Beliau yang hadir tepat jam 9 pagi, ditemani anak perempuannya berkata, walaupun tidak dapat bergerak namun mengundi adalah tanggungjawab yang perlu ditunaikan olehnya.

Ini kerana sebagai pengundi, beliau perlu menyuarakan pendapat dan pandangan dengan memangkah kertas undi dalam memastikan demokrasi terus dipegang.

“Saya harap calon yang saya pilih itu bekerja kuat dalam membela rakyat dan pengundi Port Dickson, jangan abaikan amanah yang diberikan,” katanya lagi.

Beliau antara 68,317 pengundi yang dijangka menunaikan tanggungjawab masing-masing hari ini.

Sejumlah 32 pusat mengundi, membabitkan 154 saluran dibuka bagi PRK Port Dickson yang berlangsung hari ini.

Ini adalah PRK keempat diadakan selepas PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia dan DUN Balakong – ketiga-tiganya di Selangor selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu.

Tujuh calon bersaing untuk merebut Parlimen Port Dickson setelah kerusi ini dikosongkan oleh penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lalu bagi membuka jalan untuk Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Dewan Rakyat.

Selain Anwar, enam lagi calon adalah bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad, bekas pembantu peribadi Anwar Ibrahim, Saiful Bukhari Azlan, calon Pas, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar, personaliti media sosial, Stevie Chan Keng Leong; bekas pensyarah, Lau Seck Chan; dan pakar perunding, Kan Chee Yuen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast