PORT DICKSON – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa agar membuat siasatan terhadap dakwaan seorang calon di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang memberikan makanan percuma kepada pengundi.
Calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, badan itu perlu melakukan siasatan kerana ia jelas melanggar Akta Pilihan Raya 1954.
“Itu biar SPR yang siasat,” katanya selepas melawat Pusat Pengundian di Sekolah Kebangsaan Linggi sebentar tadi.
Hari ini, tular sekeping gambar di sekitar DUN Linggi yang memaparkan pengundi diberikan makanan percuma selepas selesai mengundi.
Dakwaan itu dipercayai dikaitkan dengan calon bebas, Tan Sri Mohd Isa Samad.
Perkara itu berlaku di Pusat Pengundian SJKC Sungai Panjang, DUN Linggi ketika proses pengundian memasuki jam 12 tengah hari.
Dalam pada itu, Anwar menyeru agar pengundi segera keluar mengundi kerana statistik keluar mengundi tidak memberangsangkan.
“Saya minta pengundi jangan tangguh untuk keluar mengundi takut cuaca yang tidak menentu di sebelah petang.
“Saya mintak pengundi keluar segera kerana sekarang 24 peratus sahaja,” katanya lagi.
Setakat jam 11 pagi tadi, peratusan keluar mengundi hanya di paras 24 peratus. -MalaysiaGazette